• Monday, 21 June 2021, 3:25 am

PM seru lebih ramai sukarelawan vaksin

 PM seru lebih ramai sukarelawan vaksin

erdana Menteri bersama Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama penerima vaksin di PPV Mitec semalam. — Sumber FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar lebih ramai rakyat tampil menawarkan diri sebagai sukarelawan bagi membantu petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan kata-kata semangat serta mengucapkan terima kasih kepada petugas di PPV MITEC, semalam. — Sumber gambar FB Muhyiddin Yassin

Menurut beliau, usaha ini akan membantu meningkatkan tahap kelancaran proses vaksinasi di semua PPV yang telah dan akan dilancarkan di seluruh negara.

“Masyarakat tidak perlu bimbang tentang jumlah vaksin dan kemudahan PPV kerana kita dijadual menerima lebih banyak vaksin bermula bulan ini, seiring dengan pertambahan bilangan PPV yang sedang disediakan di seluruh negara,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Muhyiddin berkata demikian selepas melawat PPV berskala mega di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang telah mula beroperasi sejak 31 Mei lalu.

PPV MITEC merupakan satu daripada 9 PPV mega di seluruh negara dengan kemampuan maksimum untuk memberikan 6,000 suntikan dos sehari.

“Saya dapati proses vaksinasi berjalan lancar malah rata-rata mereka yang hadir janji temu menyatakan berpuas hati dengan pengurusan PPV kerana tidak perlu menunggu terlalu lama dari mula mendaftar sehingga diberi suntikan,” kata Muhyiddin.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada lebih 300 petugas termasuk sukarelawan di PPV MITEC yang begitu berdedikasi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

“Saya harap PPV ini menjadi contoh kepada PPV lain dari segi pengurusan proses vaksinasi harian masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin turut mengingatkan kepada rakyat yang belum mendaftar, supaya segera berbuat demikian bagi memastikan usaha mevaksin seramai mungkin rakyat dapat dilaksanakan sekali gus dapat mencapai tahap ‘herd immunity’ sebagaimana dihasratkan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *