PM rasmi pembukaan VTL darat Isnin ini

 PM rasmi pembukaan VTL darat Isnin ini

Hasni Mohammad (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat di Tambak Johor, Johor Bahru, Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, Perdana Menteri akan merasmikan majlis tersebut pada jam 10.45 pagi.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia ini amat penting buat sektor ekonomi negara, khususnya Johor yang merupakan negeri berjiran dengan Singapura.

“Ketika sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik COVID-19 lalu, segala aktiviti ekonomi di pusat Bandaraya Johor Bahru terhenti sehingga menjadi seperti ‘bandar hantu’.

“Namun saya bersyukur apabila kepimpinan kedua-dua negara telah bersetuju untuk berbincang dan capai kata sepakat agar pelaksanaan VTL darat dilakukan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, di sini hari ini.

Hasni berkata, jumlah pengembara yang dihadkan kepada seramai 1,440 orang dibenarkan untuk merentasi sempadan itu pada minggu pertama bukan masalah utama, sebaliknya pembukaan semula sempadan itu lebih bermakna.

“Tidak mengapa hanya 1,440 orang, sekiranya hanya 10 orang sahaja pun tidak mengapa asalkan sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera kerana ia penting untuk memulihkan semula sektor ekonomi rakyat dan negeri,” katanya.

Namun, katanya, persediaan tetap perlu dibuat kedua-dua negara untuk membolehkan lebih ramai pengembara dapat berulang-alik.

Majlis perasmian pembukaan VTL darat tersebut akan turut diadakan di Singapura melibatkan Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

Pembukaan fasa baharu sempadan Malaysia-Singapura menerusi pelaksanaan VTL darat itu adalah serentak dengan VTL udara yang menghubungkan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −    =  45