PM minta GLC pertimbang permohonan pengecualian sewa peniaga

 PM minta GLC pertimbang permohonan pengecualian sewa peniaga

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat mempertimbangkan permohonan pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan GLC yang diduduki para peniaga.

“Saya terima banyak permohonan daripada peniaga-peniaga yang memohon dikecualikan bayaran sewaan premis GLC yang mereka duduki untuk berniaga,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

“Pertimbangkanlah permohonan-permohonan ini sebaik-baiknya. Banyak peniaga yang mengalami kerugian,” tambah beliau.

Beliau meminta agar GLC membantu peniaga-peniaga ini supaya dapat menyelamatkan perniagaan dan bangkit kembali.

“Laksanakan program tanggungjawab sosial korporat untuk membantu masyarakat yang susah. Inilah masanya untuk kita semua memberi kembali kepada masyarakat,” kata perdana menteri.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan GLC yang  telah menyokong segala usaha kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian anda semua,” tambah beliau.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  7  =