PM mesti lebih aktif kepalai operasi bantuan banjir – Wan Saiful

 PM mesti lebih aktif kepalai operasi bantuan banjir – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Koordinasi antara agensi kerajaan penting bagi memastikan proses penyampaian bantuan kepada mangsa banjir menjadi lebih tersusun.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah wujud, koordinasi yang baik masih belum menyeluruh.

Katanya, Perdana Menteri sendiri mesti lebih aktif dalam mengepalai koordinasi operasi bantuan ini. 

“Bencana ini adalah bencana yang besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletak di atas bahu Perdana Menteri. 

“Pastikan pihak bomba (KPKT), tentera (MINDEF), Angkatan Pertahan Awam (JPM) dan semua agensi terbabit bergerak secara tersusun supaya proses bantuan dan pembersihan tidak bertindan dan semua yang terkesan akan dapat dibantu.

Bagaimanapun, beliau melihat perkara tersebut ada sedikit penambahbaikan hari ini cuma belum secara menyeluruh bagi membantu mangsa yang terjejas akibat bencara banjir di beberapa kawasan dan negeri. 

“Dua hari lepas semasa saya dan Skuad PTPTN Prihatin mula membantu di Hulu Langat, saya lihat koordinasi amat lemah dan mangsa banjir ramai yang tertanya-tanya mana agensi kerajaan. Tetapi pagi ini apabila Skuad PTPTN Prihatin sekali lagi turun padang, sudah kelihatan kenderaan pelbagai agensi dan koordinasi pun sudah mula ada. 

“Penambahbaikan sudah mula kelihatan. Cuma saya rasa ia belum menyeluruh,” katanya. 

Wan Saiful turut memuji semua pihak seperti orang awam, NGO, pemimpin kerajaan dan orang politik turun padang membantu rakyat. 

“Alhamdulillah ini semuanya bagus. Kita semua ada tanggungjawab menjaga nasib sesama kita.” 

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  +    =  17