• Thursday, 17 June 2021, 12:25 pm

PM: Menteri, timbalan menteri sumbang gaji 3 bulan; program Pemerkasa ditambahbaik

 PM: Menteri, timbalan menteri sumbang gaji 3 bulan; program Pemerkasa ditambahbaik

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gaji menteri, timbalan menteri selama tiga bulan mulai Jun akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Bercakap di dalam perutusan khas malam ini bagi mengumumkan inisiatif dan bantuan untuk rakyat bagi menghadapi PKP 3.0 ‘lockdown’ penuh ini, Muhyiddin berkata kerajaan amat peka dan prihatin terhadap kesan kawalan pergerakan, dan sedaya upaya memastikan wujud keseimbangan antara ‘lives and livelihood’.

Bagi membantu golongan B40, mereka yang terjejas dengan situasi terkini akan mendapat kelulusan moratorium automatik selama 3 bulan atau pengurangan bayaran balik 50 peratus selama 6 bulan.

Selain itu, RM2.1 bilion juga telah diperuntukkan bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Bagi BPR tambahan ini, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima bantuan RM500, isi rumah berpendapatan di antara RM2,501 – RM5,000 akan menerima RM300; sementara golongan bujang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima RM100. Bantuan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung Jun.

Bantuan khas ‘one-off’’ RM500 akan diberi kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan bas persiaran serta pemandu kereta sewa dan e-hailing.

Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 31 Disember, dan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik 10 peratus kepada sektor yang terjejas. Muhyiddin turut menyarankan agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman, serta memberikan diskaun sewa premis perniagaan.

Beliau berkata, sejak COVID-19 melanda negara awal tahun lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion. Bagi membantu meringankan kesan kepada rakyat, kerajaan kini mengumumkan Program Pemerkasa Plus, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 billion.

Pemerkasa Plus berlandaskan 3 matlamat utama — mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, dan menyokong perniagaan.

Kerajaan telah bersetuju untuk menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

Di bawah Pemerkasa Plus juga, 2 juta belia dan penuntut IPT layak mendapat kredit RM150 menerusi program e-Belia yang pendaftarannya dibuka esok.

Pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang CKD dan CBU import juga dilanjutkan mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

Muhyiddin menegaskan keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh adalah keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat.

“Jika tindakan drastik ‘lockdown’ tidak diambil segera, dikhuatiri sistem kesihatan negara akan runtuh dan negara bakal berhadapan satu malapetaka yang lebih besar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota barisan hadapan negara yang telah setahun berjuang tanpa penat dan lelah.

 

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *