• Wednesday, 16 June 2021, 5:32 am

PM: Malaysia di landasan yang betul memerangi pandemik dan menjaga ekonomi

 PM: Malaysia di landasan yang betul memerangi pandemik dan menjaga ekonomi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 yang disiarkan dari Angkasapuri malam ini

Oleh Irwan Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan bahawa sasaran imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah di dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 eksklusif terbitan RTM dan Bernama TV yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial malam ini.

Muhyiddin juga menggesa semua rakyat Malaysia untuk tetap mengikuti SOP dan arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), walaupun telah menerima vaksin.

“Individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin sekalipun perlu terus mengikut SOP kerana jangkitan masih boleh berlaku,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan sebilangan pihak yang menganggap sesuatu vaksin itu membuat mereka ‘kebal’ kepada jangkitan virus, sedangkan fungsi sebarang vaksin adalah untuk membantu sistem tubuh badan pesakit melawan virus dan mengurangkan kesan jangkitan ke tahap minima.

“Kerjasama seluruh masyarakat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19. Saya meminta rakyat melaksanakan sekatan pergerakan kendiri untuk bantu menyekat peningkatan mendadak jangkitan wabak ini,” kata Perdana Menteri, sambil menambah bahawa kerajaan sentiasa prihatin akan nasib rakyat dan akan terus membantu golongan rentan yang terkesan.

Ketika menjawab persoalan tentang kekeliruan yang dihadapi sesetengah pihak mengenai peraturan dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan terkini (PKP), Muhyiddin menekankan bahawa perlaksanaan SOP PKP ditetapkan mengikut situasi pandemik semasa dan keperluan mengimbangi kesihatan dan keselamatan rakyat dengan kesinambungan ekonomi negara yang akan memberi kesan besar kepada kehidupan setiap rakyat.

“SOP PKP yang dikeluarkan MKN tidak statik tetapi bersifat dinamik,” kata beliau.

Mengenai persoalan vaksinasi pula, Muhyiddin menegaskan, kerajaan menyambut baik usaha mana-mana pihak yang ingin membantu mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk negara ini, tetapi pihak-pihak tersebut perlu melalui proses yang betul bagi mengelakkan sebarang salahguna, penipuan, dan lain-lain isu yang boleh menimbulkan masalah kesihatan kepada rakyat dan liabiliti kepada agensi kerajaan.

“Kerajaan tiada halangan jika ada pihak di negara ini yang mahu membeli sendiri vaksin COVID-19 tetapi mereka mesti mendapatkan kelulusan Agensi Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) terlebih dahulu.”

Perdana Menteri juga menjangkakan kedudukan ekonomi negara bertambah baik pada tahun ini, sejajar dengan tindakan kerajaan dan pemulihan aktiviti ekonomi serta perdagangan dunia walaupun berdepan cabaran getir akibat pandemik COVID-19.

“Perancangan kita sudah pun melihatkan kesannya. Ekonomi kita sudah ada petanda peningkatan. Eksport kita meningkat, import kita meningkat (dan) jumlah pekerja yang kita ambil mencecah 150,000, lebih daripada jadual 120,000 orang.

“Unjuran badan antarabangsa, pakar kita dan Bank Negara, kita akan lihat pertumbuhan 6.5 ke 7.0 peratus tahun ni. Kita ada masa empat ke tujuh bulan untuk lihat ia tercapai,” katanya lagi.

 

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *