PM lawat PPV OKU pandu lalu pertama kendalian NGO OKU Sentral

 PM lawat PPV OKU pandu lalu pertama kendalian NGO OKU Sentral

(Gambar fail) Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau proses pemberian vaksin kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU-pandu lalu yang pertama di dalam negara. Foto FB Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA, 24 Jun — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang meninjau proses pemberian vaksin kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU-pandu lalu yang pertama di dalam negara.

PPV OKU-pandu lalu yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral ini dibuka khas untuk membantu ahli komuniti OKU menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu oleh sukarelawan OKU yang berpengalaman berurusan dengan komuniti OKU.

“Proses vaksinasi golongan OKU bukanlah suatu tugas yang mudah kerana sifat atau tidak balas mereka yang tentunya berlainan daripada biasa.

Kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV ini mendepani karenah mereka amat dihargai,” katanya.

PPV tersebut yang turut menyediakan bilik bertenang atau ‘calm room’ yang dilengkapi permainan dan juga alunan muzik juga adalah satu inisiatif yang amat baik dalam membantu ‘menenangkan’ anak-anak OKU.

PPV OKU-pandu lalu yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral ini dibuka khas untuk membantu ahli komuniti OKU menerima suntikan vaksin.

Dalam sebuah hantaran di Facebook hari ni Perdana Menteri berkata usaha kerajaan dengan penglibatan NGO dan juga sektor swasta ini amat diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Muhyiddin turur mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, NGO OKU Sentral sebagai pengendali, para sukarelawan OKU, Sime Darby Plantation dan Yayasan Sime Darby yang membantu menaja lokasi dan perkhidmatan logistik sepanjang program vaksinasi OKU ini dijalankan.

Beliau berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan dapat berganding bahu serta memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk menjayakan program vaksinasi ini.

Muhyiddin berkata sehingga 20 Jun 2021, sebanyak 280,904 daripada 579,150 individu OKU yang berdaftar di bawah sistem maklumat OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun mendaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,914 individu telah menerima dos pertama manakala kira-kira 4,000 individu telah menerima dos kedua,” katanya

Turut hadir mengiringi YAB Perdana Menteri ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Pengerusi OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau turut mengumumkan sukarelawan OKU juga akan menikmati kenaikan kadar elaun harian kepada RM100 sehari, sebagaimana yang bakal diterima sukarelawan kesihatan bermula hujung bulan ini seperti yang telah umumkan di Pagoh, Selasa lalu.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Pengerusi OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, Ras Adiba berkata pihaknya telah menerima lebih 16,000 permohonan untuk vaksin COVID-19 termasuk dari pemohon bukan dari golongan warga OKU namun hanya 13,500 pemohon sahaja dipilih mengikut keperluan khas.

“Sejak mula beroperasi 16 Jun lalu sehingga hari ini, PPV ini telah memberikan vaksin kepada lebih 1,000 orang pemohon,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Katanya walaupun PPV tersebut berskala kecil, mereka akan meningkatkan keupayaan jumlah penerima yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.

Beliau berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih vaksin dan mewujudkan lebih banyak PPV khusus untuk warga OKU seluruh negara.

PPV OKU pandu lalu tersebut beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang memberikan peluang kepada warga OKU hadir bersama penjaga masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksinasi dari dalam kenderaan masing-masing.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3