PM: Ketatkan pematuhan SOP untuk kelangsungan ekonomi negara

 PM: Ketatkan pematuhan SOP untuk kelangsungan ekonomi negara

  • Peningkatan kes mendadak sehingga 5,000 kes sehari satu perkembangan membimbangkan
  • #COVID19: Kaedah terbaik pada masa ini ialah benarkan sektor ekonomi terus beroperasi, pada masa sama aksana SOP ketat
  • Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP dianggotai pelbagai agensi, kementerian ditubuh pantau pematuhan SOP
  • COVID-19: Data terkini dapati 59% jangkitan berlaku di tempat kerja, 19% di pusat tahanan dan 14% di kediaman
  • Arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP antara cadangan pindaan Akta 342
  • Kerajaan dalam proses pinda akta tangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja melalui tindakan penguatkuasaan lebih tegas
  • Dengan trend kenaikan kes positif pada masa ini, sistem kesihatan negara hampir mencapai breaking point
  • Hospital swasta akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pihak industri dan orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan perniagaan dan perdagangan terus beroperasi, sekali gus membantu memutuskan rantaian COVID-19.

“Kerajaan mendengar semua pandangan anda dengan tidak menutup ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, tolong beri kerjasama dengan mematuhi SOP dengan ketat agar kita dapat pastikan perniagaan dan perdagangan dapat terus beroperasi dan pada masa yang sama membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19 di tempat kerja dan dalam kalangan masyarakat,” kata beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Perdana menteri turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya seperti yang pernah dikuatkuasakan sebelum ini tidak akan berulang. 

Meskipun sekatan pergerakan sepenuhnya merupakan antara kaedah yang paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, namun ia akan memberikan kesan yang amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat, ujar beliau.

“Banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar, perusahaan lumpuh, dan rakyat akan hilang pekerjaan serta mata pencarian. Kehidupan rakyat pastinya akan terjejas dengan teruk. Ini adalah satu keadaan yang kita mesti sama-sama elakkan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kaedah terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi untuk terus beroperasi dan pada masa sama melaksanakan SOP yang ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan dalam kalangan komuniti.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa.

Menurut perdana menteri, satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP.

Bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga 3 Februari 2021, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan manakala seramai 82,141 individu telah dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia dan 31,740 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  12  =  13