PLUS kembalikan lorong SmartTAG

 PLUS kembalikan lorong SmartTAG

KUALA LUMPUR : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memutuskan untuk mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang ditutup ini, secara berperingkat.

Sebanyak 19 lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup di 16 plaza tol, akan dibuka sebelum 25 Januari ini.

Ia dilaksanakan semula bagi memastikan kelancaran trafik menjelang Tahun Baharu Cina.

Susulan itu, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol, bermula pada 19 Februari depan.

PLUS dalam kenyataan berkata, pengaktifan semula lorong SmartTAG itu dibuat bagi mengatasi beberapa isu dan rungutan dibangkitkan pengguna SmartTAG berikutan penutupan lorong SmartTAG di plaza tol berkenaan.

Penutupan sebelum ini dilakukan susulan pelaksanaan bayaran tol menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Gambar hiasan Smart Tag

Isu RFID mula dikritik teruk oleh pengguna lebuh raya dan warga maya, sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri selepas penggunaannya didakwa tidak efisien.

Dalam perkembangan lain, pembantu khidmat pelanggan PLUS akan memberi kupon Touch ‘n Go (TnG) kepada pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuh raya PLUS.

Pelanggan boleh terus ke mana-mana 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuh raya PLUS atau 35 lagi lokasi di luar lebuh raya itu untuk pemeriksaan.

Jika tag didapati rosak, pihak TnG akan menggantikan tag itu secara percuma.

Bagaimanapun, PLUS juga akan terus bekerjasama dengan TnG untuk meningkatkan bilangan pusat pemasangan RFID bagi memastikan pemasangan tag yang betul oleh ejen pemasangan terlatih.

Terdahulu, PLUS pada 15 Januari lalu, mula melaksanakan sistem RFID di plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

Namun, situasi bertukar kucar-kacir apabila berlaku kesesakan teruk di beberapa plaza tol sekitar Lembah Klang kerana PLUS menutup lorong SmartTAG.

Malah, lorong RFID yang dibuka juga tidak beroperasi lancar seperti dirancang hingga mengundang campur tangan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri tampil menegur ketidakcekapan PLUS.

PLUS kemudian memberi jaminan akan meningkatkan sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol bagi membolehkan kenderaan melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza tol dengan jumlah trafik tinggi bagi memudahkan kenderaan melepasi lorong berkenaan dengan lancar.

fhatihah Zakinan

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  1