PKPP: Terengganu perluas aktiviti keagamaan

 PKPP: Terengganu perluas aktiviti keagamaan

Datuk Osman: Majlis akad nikah di masjid dan surau turut dibenarkan dengan kapasiti tidak melebih 20 orang

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU, 3 Mac: Perubahan status Terengganu yang diletakkan dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa pada 5 Mac ini membolehkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri itu dianjurkan di premis ibadat itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, berikutan pelaksanaan PKPP itu majlis akad nikah di masjid dan surau turut dibenarkan dengan kapasiti tidak melebih 20 orang.

Katanya, kebenaran memperluaskan aktiviti keagamaan dan pembukaan pusat pengajian itu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu selaras dengan status Terengganu bertukar  kepada PKPP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang media di Kuala Lumpur semalam mengumumkan enam negeri yang sebelum ini berada dalam pelaksanaan PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada Peringkat Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mulai Jumaat ini.

“Baginda Sultan bertitah supaya jawatankuasa masjid dan surau serta pengurusan madrasah, surau dan pusat tahfiz terlibat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Osman berkata, turut dibenarkan beroperasi ialah semua madrasah, pondok, pusat tahfiz yang berada di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkuat kuasa Isnin ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana masjid, surau dan institusi keagamaan lain yang diarahkan tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenar menjalankan sebarang aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2