PKPD: Perkhidmatan kaunter kerajaan ditutup sepenuhnya

 PKPD: Perkhidmatan kaunter kerajaan ditutup sepenuhnya

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Perkhidmatan kaunter kerajaan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sepenuhnya walaupun sebelum ini ia diarah buka di seluruh negara bermula 1 Julai.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bagaimanapun berkata arahan penutupan itu dikecualikan bagi perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu masuk antarabangsa yang melibatkan urusan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

“Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 16 Julai.

“Selaras dengan arahan tersebut, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian pejabat kerajaan semasa tempoh PKPD bagi kawasan terlibat akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan yang telah dikeluarkan pada 30 Mei lepas (Pengoperasian Pejabat Kerajaan dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan pada 30 Mei, Mohd Zuki berkata perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara.

Beliau berkata perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *