Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
PKPD: Penduduk di Hulu Besut dapat bekalan

Sukarelawan Parlimen Besut bergotong royong memasukkan ayam ke dalam plastik
Oleh Mohammad Ishak
JERTIH 19 Feb: Penduduk empat kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang sukar mendapatkan bekalan makanan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) gembira apabila menerima agihan keperluan barang basah, hari ini.
Lebih 2,000 penduduk dari Kampung Darau, Kampung Lepang Kejur, Kampung Padang Baloh dan Kampung Awek dikenakan PKPD mulai 14 hingga 27 Februari depan berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan itu.
Sejak dua hari ini, penduduk terlibat resah apabila mereka tidak menerima bantuan daripada pihak berkuasa.
Pejabat Ahli Parlimen Besut mengagihkan bahan basah termasuk ayam, ikan, gula dan barang keperluan dapur kepada 467 keluarga yang terbabit dengan pelaksanaan PKPD terbabit.

Wakilnya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, agihan keperluan bahan basah hari ini adalah yang kedua dilakukan oleh pihaknya selepas penduduk terbabit menerima bantuan barangan kering pada hari kedua mereka dikenakan PKPD.
Pejabat beliau terpaksa menyelaraskan jadual bekalan barang keperluan supaya tidak bertindih dengan bantuan agensi lain yang turut menyalurkannya kepada penduduk yang terjejas.
“Disebabkan kawasan itu tidak boleh dimasuki sesiapa, kami terpaksa menyalurkan bantuan menerusi Jawatankuasa COVID-19 peringkat daerah,” katanya.
Idris yang juga Pengerusi FELDA turut mengucapkan terima kasih kepada ahli Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Besut kerana membantu menyiapkan bungkusan.
Sementara itu, penduduk Rahim Harun, 60, berkata penduduk hampir putus bekalan barangan keperluan dua hari lalu kerana tidak ada agihan dilakukan pihak berkuasa.
Bagaimanapun beliau bersyukur apabila Pejabat Ahli Parlimen Besut tampil buat kali kedua mengagihkan bekalan makanan sejak mereka dikenakan PKPD enam hari lalu.