• Thursday, 17 June 2021, 2:15 pm

PKPD: orang ramai di Ipoh mula sibuk buat persiapan

 PKPD: orang ramai di Ipoh mula sibuk buat persiapan

IPOH, 21 Mei — Kebanyakan pasar raya di sekitar sini didapati mula diserbu awal pagi sebaik sahaja ia mula dibuka apabila orang ramai di sini mulai sibuk membuat persiapan, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di Perak yang berkuat kuasa esok sehingga 4 Jun.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat mendapati ada tempat-tempat tertentu menyaksikan orang ramai beratur panjang untuk masuk ke pasar raya, malah ada yang sudah menunggu berjam-jam lamanya untuk giliran mereka.

Seorang peniaga sayur di Pasar Besar Ipoh Nurul Atikah Mohd Salleh, 24, berkata suasana di Pasar Besar Ipoh hari ini berbeza daripada kebiasaan kerana pengunjung kelihatan sedikit kelam-kabut untuk mendapatkan barang keperluan.

“Pada kebiasaannya hari Jumaat pembeli tidak seramai ini kerana suasana seperti ini selalunya akan berlaku pada hujung minggu atau cuti umum. Ramai pengunjung yang hadir melakukan pembelian panik kerana bermula esok hanya seorang sahaja yang dibenarkan keluar.

“Pengunjung hari ini majoritinya kaum wanita. Mungkin atas faktor wanita lebih arif tentang pembelian barang-barang dapur,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Besar Ipoh di sini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan PKPD dilaksanakan di beberapa mukim dan lokaliti di enam negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak mulai 22 Mei hingga 4 Jun berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Empat mukim yang terlibat di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Seorang pengunjung pasar yang ditemui di sini Nur Farirah Abdullah, 32, memberitahu beliau terkejut dengan suasana sesak di Pasar Besar Ipoh walaupun sudah hampir 10 pagi dan hari ini pula adalah hari bekerja.

Akmal Hishamuddin, 34, seorang kakitangan swasta pula berkata beliau terpaksa mencuri sedikit waktu kerjanya untuk membeli barangan keperluan sebagai persiapan sebelum PKPD berkuat kuasa esok.

“Saya terpaksa curi-curi keluar semasa waktu kerja sebab barang-barang dapur di rumah tidak cukup untuk simpanan stok. Tetapi pembelian kali ini lebih mudah dirancang kuantitinya untuk saya dan seisi keluarga,” katanya ketika ditemui di Pasar Jelapang di sini.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati bekalan cili benggala dan beberapa barangan basah seperti daging dan ikan di sebuah pasar raya di sini turut mengalami penyusutan mendadak berikutan pembelian dalam kuantiti yang lebih banyak berbanding biasa.

Pemerhatian juga mendapati banyak rak mulai kosong dan troli yang digunakan kebanyakan pengunjung sarat diisi dengan barang-barang keperluan seumpama pembelian menjelang Hari Raya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam kenyataan hari ini memberi jaminan bekalan barang keperluan asas sepanjang tempoh PKPD di empat mukim dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini adalah mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran.

Pengarahnya Saifullizan Kamarul Zaman berkata berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan, bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

“Para peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan yang tidak munasabah dengan menaikkan harga barangan, mempamerkan harga yang mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD,” katanya.

Tular di media sosial sejak malam tadi mengenai masyarakat di sekitar Ipoh yang mulai keluar membeli barang keperluan di beberapa pasar raya besar selain turut memuat naik gambar rak-rak yang kosong bagi menunjukkan barangan telah habis dijual.

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *