Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 3 Julai

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh Suraya Ali
KUALA LUMPUR, 1 Julai — Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WP Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.
Ia susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan trend jangkitan yang tinggi.

“Selangor melaporkan purata kes harian COVID-19 antara 1,800 ke 1,900. Manakala di WP Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Selangor dan Kuala Lumpur yang masih mencatatkan kes tinggi jangkitan COVID-19 pada petang ini.
“Berdasarkan laporan KKM, kedua-dua negeri ini melaporkan insiden kes COVID-19 melebihi 12.1 /100,000 penduduk.
Data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan,” katanya.
Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM.
“Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing KECUALI seorang sahaja wakil isi rumah untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” katanya.
Tambah Ismail yang juga Menteri Pertahanan, KKM akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat.
“Jawatankuasa penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal DIBENARKAN dengan menunjukkan butiran janji temu pada aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS. Lapangan terbang dan Pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus. Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.
Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.
Hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja DIBENARKAN untuk beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.