PKP ketika Aidilfitri elak petaka, bukan kerajaan zalim – Muhyiddin

 PKP ketika Aidilfitri elak petaka, bukan kerajaan zalim – Muhyiddin

Batu penghadang dan pagar kawat berduri bukan penghalang bagi ahli keluarga bertemu di antara mereka untuk bertukar juadah raya di Jalan Bangi – Nilai iaitu sempadan Negeri Sembilan-Selangor pada 1 Syawal hari ini. Jalan terbabit ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas daerah dan rentas negeri bermula 12 Mei hingga 7 Jun

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 6 Jun ini bukan kerana kerajaan zalim tetapi bertujuan mengelak negara terjerumus ke kancah malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang buruk.

Perdana Menteri memberitahu, gelombang ketiga COVID-19 yang sedang melanda negara telah menyaksikan kes positif COVID-19 mencecah lebih 4,000 kes sehari sejak beberapa hari lalu  dan trend peningkatan kes yang mendadak dicatatkan sejak beberapa minggu lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam

Beliau berkata, lebih membimbangkan terdapat varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara lain.

“Saya cukup bimbang apabila varian-varian ini telah mula dikesan di negara kita,” katanya.

Dengan perkembangan terbaharu ini, kata Muhyiddin, negara kita sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan dengan mengambil satu tindakan tegas dan drastik.

“Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok (semalam). Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif COVID-19. Ini kerana ramai pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu. Kalau dia ziarah 10 buah rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti COVID-19. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif COVID-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari, naúzubillahi min zalik,” katanya.

Pada 11 Mei, 3,973 kes baharu COVID-19 dicatatkan. Angka kes baharu itu meningkat kepada 4,765 pada 12 Mei dan terus naik kepada 4,855 kes semalam.

Perdana Menteri menegaskan, PKP yang dikuatkuasakan sekarang bukan perkara main-main dan adalah satu keputusan yang sukar tetapi mesti dibuat.

“Keputusan ini tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati saudara dan saudari. Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian. Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ini bukan memberi seratus peratus jaminan bahawa angka-angka COVID-19 di negara ini tidak akan meningkat. Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan dan sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini.

Justeru, Muhyiddin merayu kepada rakyat supaya mempertingkatkan disiplin diri dan mematuhi SOP pada setiap masa selain duduk di rumah dan tidak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting.

“Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri. Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

20  −    =  13