• Sunday, 20 June 2021, 8:30 am

PKP: JPNP tutup semua TER, HTN

 PKP: JPNP tutup semua TER, HTN

Taman Eko Rimba Berkelah merupakan taman eko popular dikalangan pengunjung ditutup sementara semasa pelaksanaan PKP 3.0. –Kredit foto Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 26 Mei – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seluruh negara, bermula 13 Mei lalu.

Turut ditutup sebarang aktiviti riadah ialah kawasan pendakian dan perkelahan dalam hutan simpan kekal.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, keputusan menutup sementara semua pusat perkelahan itu diputuskan pihak berkuasa kerajaan dan tindakan berkenaan perlu dilakukan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Katanya, dalam tempoh itu Pejabat Hutan Daerah (PHD) tidak akan mengeluarkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal yang terdapat di daerah berkenaan bagi tujuan aktiviti riadah.

“JPNP memohon maaf terhadap keputusan menutup sementara semua 26 TER, HTN dan hutan simpan kekal bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Keputusan ini demi kebaikan bersama kerana kita tidak mahu keseronokan bersama keluarga dan rakan di pusat perkelahan di bawah selian JPNP berakhir dengan kejadian tidak diingini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, JPNP menguruskan 25 TER di seluruh negeri termasuk satu taman negeri, antara TER yang terkenal di kalangan pelancong ialah TER Mossy Forest, TER Chamang, TER Lentang, TER Sungai Pandan, TER Lata Jarum dan TER Berkelah.

“TER Mossy Forest, Cameron Highlands mencatat jumlah kehadiran pelancong tempat dan luar negara yang ramai setiap hujung minggu sebelum ini namun kini tempat berkenaan terpaksa ditutup sementara,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *