PKP: Jangan sampai jadi tragedi

 PKP: Jangan sampai jadi tragedi

Oleh Irwan Abdul Rahman

Hari ini enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, dan besok pula Wilayah Kuala Lumpur turut serta. Perintah yang sama telahpun dikuatkuasa di beberapa daerah di negeri-negeri lain sejak beberapa hari lepas.

Perintah ini tidaklah sesuatu yang mengejutkan jika dilihat trajektori bilangan kes baru COVID-19 Malaysia yang kini berlegar di antara 2 hingga 3 ribu sehari. Jikalau tahun lalu, PKP dilaksanakan ketika jumlah kes harian baru hanya mencecah ratusan kes, maka amat logik bagi kerajaan untuk melaksanakan perintah di kala gelombang ketiga ini, bagi membendung penularan wabak ke tahap yang lebih buruk. Walaupun begitu, kerajaan juga sedar, penutupan aktiviti masyarakat secara ‘blanket’ boleh melumpuhkan ekonomi serta membawa kesan yang amat sakit kepada rakyat. Jadi perintah ini dilaksanakan secara bersasar dan berhemah.

Timbul satu persoalan, apakah status sebenar keadaan kita sekarang? Adakah kita sedang ‘memenangi’ perperangan menentang pandemik yang mencengkam seluruh dunia ini? Angka 3,000 kes sehari sememangnya menggerunkan jika dibandingkan dengan jumlah kes harian tahun lalu.

Dari segi konteks dunia pula, kita kini disarikan dengan berita tentang keadaan yang amat kritikal di India.

Antara kisah yang tular termasuklah tentang doktor di hospital yang terpaksa memilih pesakit mana yang akan hidup, dan mana yang tidak boleh diselamatkan akibat dari kekangan peralatan perubatan dan bekalan oksigen. Terpapar gambar-gambar taman awam dan tempat letak kereta yang terpaksa diubahsuai menjadi tempat pembakaran mayat (crematorium) kerana terlalu banyak kes kematian akibat COVID-19. Juga dikatakan, bekalan kayu api tidak cukup untuk menampung jumlah mayat yang terlalu tinggi!

Kita perlu mengambil iktibar dari kesusahan yang menimpa negara tersebut. Kerana, kalau kita tidak bertindak dengan segera dan tegas, kemungkinan besar angka kes baru kita akan meningkat lebih tinggi dengan mendadak. Ini suatu senario yang akan menambah tekanan kepada sistem kesihatan kita yang kini sudahpun terkesan.

Memang, jika dibandingkan, mungkin keadaan kita ‘tidaklah sebegitu teruk’.

Menurut data https://ourworldindata.org/, Malaysia kini merekodkan hanya 97.9 kes per sejuta penduduk, berbanding India (276.2 kes). Malah, angka kita jauh lebih rendah dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (145.5), Jerman (211), Kanada (211), Perancis (306.3) dan Belanda (445.6).

Namun, adakah ini bermaksud kita sedang ‘berjaya’?

Tidak sama sekali! Angka kita adalah yang tertinggi berbanding jiran-jiran serantau kita dan sesungguhnya 3,000 kes baru sehari terlalu tinggi untuk ditangani petugas-petugas kesihatan kita. Kita mesti menurunkan kepada jumlah yang jauh lebih rendah untuk memastikan sistem kesihatan kita tidak lumpuh.

SOP ketat PKP yang dikuatkuasakan kerajaan menerusi MKN adalah hasil daripada kajian dan pendapat pelbagai pakar kesihatan, keselamatan dan ekonomi berdasarkan data yang mendalam bagi memastikan kelangsungan kestabilan negara dan kebajikan rakyat. Ia bukannya alat mainan politik untuk dijadikan bahan polemik dan gurauan.

Sememangnya terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan penguatkuasaan SOP ini yang terus diperbaiki dari masa ke semasa. Telah terbukti ada sahaja pelbagai ‘kluster kayangan’, ‘kluster selebriti’ dan lain-lain yang cuba menggunakan pengaruh mereka untuk mendapat layanan istimewa, namun biarlah pihak yang berkuasa menyiasat, jika benar, menghukum mereka – sama ada pihak yang membuat salah maupun pihak yang membenarkan mereka membuat kesalahan – mengikut undang-undang yang ada. Berani buat, berani tanggung. Tidak perlulah kita terlalu mempersoalkan motif atau keberkesanan perintah dan SOP ini hanya kerana perbuatan segelintir golongan ataupun kerana perbezaan pegangan politik.

Berikan sokongan kepada barisan hadapan kita. Patuhi SOP, amalkan kebersihan, daftarkan diri dan keluarga untuk mengambil vaksin dan terus berjaga-jaga. Walaupun penat dan bosan, jangan sekali-kali ambil sikap sambil lewa, kerana peperangan ini masih belum selesai. Simpan dahulu keinginan nak balik kampung atau niat untuk berjalan-jalan. Amalkan integriti – ikuti SOP kerana ia perlu dilakukan untuk kebaikan semua, termasuk anak-anak kita, dan bukan hanya kerana kita takutkan denda.

Bersama kita jaga kita, dan insya Allah, kita akan dapat mengharungi wabak ini dengan berjaya dan segera.

 

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  47  =  48