• Sunday, 20 June 2021, 11:59 am

PKGK pindah 19 gajah liar dalam tempuh lima bulan

 PKGK pindah 19 gajah liar dalam tempuh lima bulan

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 29 Mei – Petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang menangkap serta memindahkan 19 gajah liar dalam tempoh lima bulan tahun di enam negeri.

Ketua PKGK Kuala Gandah,
Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, Pahang mencatat jumlah terbanyak tangkapan iaitu sembilan ekor diikuti empat di Kelantan, dua di Perak dan Johor serta masing-masing satu di Kedah serta Terangganu.

Menurutnya, terbaharu pada 24 Mei lalu pihaknya menangkap dan memindahkan seekor gajah jantan Kampung Kota Aur, Sik, Kedah.

Difahamkan haiwan berkenaan sebelum ini berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk sejak sebulan lalu.

Katanya, tangkapan terbanyak dibuat pada Februari lalu membabitkan sebanyak lapan ekor gajah di Kampung Pasir Durian, Jerantut.Kumpulan haiwan terbabit keluar daripada hutan untuk mencari makan di kawasan kebun penduduk.

“Pembukaan hutan secara tidak terkawal untuk aktiviti pertanian dan sebagainya menjadi faktor utama kumpulan gajah kini keluar daripada kawasan habitat untuk mencari makan, hampir setiap bulan aduan kes gajah memusnahkan tanaman
dilaporkan berlaku.

Kakitangan PKGK Kuala Gandah Lanchang menjalankan operasi memindahkan gajah liar.

“Pasukan PKGK Kuala Gandah akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri bagi mendapatkan maklumat sebelum keputusan menangkap dan memindahkan gajah dilakukan,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, 19 gajah yang ditangkap membabitkan sembilan jantan dan 10 betina pelbagai saiz dan umur, haiwan terbabit bergerak dalam satu kumpulan diketuai seekor gajah jantan.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, semua gajah yang ditangkap dilepaskan semula ke hutan terpilih di beberapa negeri, kawasan hutan berkenaan akan menjadi habitat baharu pada haiwan berkenaan.

Tambahnya lagi, tahun lalu pihaknya berjaya menangkap serta memindahkan sebanyak 38 ekor gajah dibeberapa negeri selepas diminta berbuat demikian oleh PERHILITAN negeri.

“Pasukan PKGK Kuala Gandah dianggotai kakitangan yang berpengalaman luas menjalankan tugas menangkap serta memindahkan gajah liar, kelebihan itu dapat melancarkan lagi tugas berkenaan yang dibantu sepenuhnya gajah denak.

“Kita kini memiliki enam ekor gajah denak yang menjadi tulang belakang pada PKGK Kuala Gandah menjalankan tugas, setiap kali operasi dua gajah denak akan digunakan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *