Pindaan Akta 342 dijangka berkesan seperti Ordinan Darurat dalam perangi Covid-19 – Dr Noor Hisham

 Pindaan Akta 342 dijangka berkesan seperti Ordinan Darurat dalam perangi Covid-19 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Cadangan pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), serupa dengan Ordinan Darurat (EO) yang digunakan untuk memerangi Covid-19, diperlukan kerana ia terbukti berkesan, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Dalam taklimat media pada Selasa, bagi menjelaskan rasional cadangan pindaan Akta tersebut, Dr Noor Hisham berkata ia juga tidak berdaya untuk mengenakan denda RM1,000 yang sama kepada pesalah individu, syarikat atau organisasi yang melanggar SOP Covid-19.  

Pada ketika ini, Akta 342, memberikan KP kuasa untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap kedua-dua individu dan syarikat atau organisasi, berikutan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) di Dewan Negara pada 8 Disember.

Bagaimanapun, di bawah Rang Undang-undang pindaan Akta, denda telah dinaikkan kepada maksimum RM10,000 untuk individu dan sehingga RM1 juta untuk syarikat.

“Kita masih dalam peperangan melawan Covid-19.  Perang kita masih belum berakhir.  Kita masih dalam fasa peralihan ke arah fasa endemik dan baru-baru ini, kita telah dicabar sekali lagi dengan varian baharu, iaitu Omicron, dan kita memerlukan EO ini dipinda secepat mungkin, supaya kita boleh melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk penyakit-penyakit berjangkit. 

“Dan peruntukan di bawah EO didapati berkesan dan membantu dalam langkah kawalan penyakit berjangkit Covid-19.  Itu pun semasa kita menggunakan EO, kita telah membuat pindaan supaya Akta atau peraturan yang kita ada, dapat membantu dalam mengawal penularan penyakit, dan sehingga kini, insyaAllah kita boleh menggunakan EO dengan baik, untuk mengawal penularan Covid-19,” kata Dr Noor Hisham.

Rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama pada Selasa, dan kerajaan berharap ia diluluskan pada Khamis, mesyuarat parlimen terakhir bagi tahun ini.

Di bawah pindaan itu, denda bagi kesalahan yang dilakukan oleh individu dinaikkan kepada maksimum RM10,000 dan sehingga RM1 juta bagi badan korporat.

Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta 342 boleh didenda maksimum RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 24 pindaan yang dicadangkan.

Kerajaan juga mencadangkan denda maksimum RM2 juta untuk syarikat serta agensi kerajaan, jika sabit kesalahan.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

62  −  57  =