• Friday, 18 June 2021, 1:13 am

Pilihanraya : Integriti semasa pandemik

 Pilihanraya : Integriti semasa pandemik
Oleh Amerul Muner Mohammad

Aidilfitri tahun ini merupakan sambutan kali kedua dalam suasana suram akibat pandemik COVID-19 yang terus membelenggu seluruh dunia. Balik kampung, bersalaman di pagi raya, ziarah-menziarah dan aktiviti-aktiviti lain yang selama ini menjadi budaya di Malaysia, tidak dapat diraikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung pandemik.

PKP 1.0 diisytiharkan di Malaysia pada 18 Mac tahun lalu. Sejak itu pelbagai variasi PKP telah dikuatkuasakan oleh kerajaan. Namun sejak akhir-akhir ini, jumlah jangkitan terus meningkat hampir mencecah setengah juta kes. Dengan peningkatan jumlah jangkitan harian mencecah 6,000 pesakit manakala bilangan kematian tertinggi setakat ini, sebanyak 59 kes telah direkodkan pada Khamis lalu, keadaan amat menakutkan. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemampuan perkhidmatan kesihatan dan barisan hadapan kini berada di tahap maksimum.

Penulis amat tertarik dengan pemerhatian oleh seorang rakyat Malaysia, Mohamad Aiman, yang kini menetap di New Zealand mengenai langkah-langkah mencegah penularan COVID-19 di negara itu. Kesemua langkah yang diambil oleh Kerajaan New Zealand hampir sama dengan negara-negara lain.

Penutupan sempadan, sekatan pergerakan, penutupan sekolah dan lain-lain institusi kecuali perkhidmatan-perkhidmatan perlu. Penjarakan sosial adalah antara langkah-langkah tegas yang telah dijalankan oleh Kerajaan New Zealand. Perintah pentadbiran yang dilaksanakan tersebut walaupun mencengkam kebebasan rakyat dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara, namun bantuan yang diberikan oleh kerajaan dapat meringankan rakyat dalam mengharungi cabaran akibat COVID-19.

Apa yang menarik adalah penyataan Aiman bahawa New Zealand mengguna pakai prinsip integriti dalam usaha mereka melawan COVID-19. Dari awal, setiap peraturan yang diperkenalkan mengambil kira setiap aspek ‘governans’ agar peraturan-peraturan tersebut dapat diterima dan dipatuhi secara total oleh setiap lapisan masyarakat.

Peraturan-peraturan yang diperkenalkan adalah menyeluruh, jelas dan disebarluaskan melalui semua saluran media sama ada konvensional ataupun media sosial.

Masyarakat terkesan apabila pergerakan disekat, kedai dan pejabat ditutup, perusahaan tidak beroperasi, namun semuanya dapat diterima oleh orang ramai apabila mereka dapat melihat hasil yang memberangsangkan dan kembali seperti sedia kala selepas beberapa ketika melalui PKP.

Budaya masyarakat New Zealand yang menitikberatkan pematuhan peraturan dan undang-undang menyebabkan penguatkuasaan tidak menjadi isu yang besar di negara tersebut.

Semua penduduk, tanpa mengira status dan kedudukan, tidak terkecuali daripada peraturan melawan COVID-19. Tiada kluster kayangan atau kluster bawahan. Sebagai contoh, bekas Menteri Kesihatan New Zealand dikenakan tindakan dan seterusnya meletakkan jawatan apabila beliau dan keluarga keluar beriadah semasa PKP berkuat kuasa.

Apabila layanan sama rata diberikan kepada semua, tanpa mengira status dan kedudukan, maka penguatkuasaan undang-undang tidak menjadi isu yang besar untuk dilaksanakan.

New Zealand telah mengadakan pilihan raya umum pada 17 Oktober lalu dengan 81.45 peatus pengundi telah keluar untuk mengundi. Kesemua parti politik yang bertanding telah bersepakat untuk mengurangkan kempen secara terbuka dan bersemuka bagi memastikan risiko penyebaran COVID-19 dapat dikawal.

Kempen di atas talian dan akses yang sama rata kepada saluran televisyen kepada semua parti dan calon, membolehkan semua pihak berkempen tanpa mengumpul orang ramai di suatu lokasi yang boleh menjadi ancaman kepada masyarakat dalam situasi pandemik sekarang. Begitu juga dengan Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang berjaya mengadakan pilihan raya tanpa menyebabkan penularan COVID-19 secara besar-besaran.

New Zealand kini menjalani kehidupan seperti sedia kala. New Zealand telah mengadakan pilihan raya umum pada 17 Oktober lalu dengan 81.45 peatus pengundi telah keluar untuk mengundi.

Malangnya di Malaysia, Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September lalu telah dikatakan sebagai penyebab kepada penularan COVID-19 yang lebih besar di seluruh negara. Di manakah silap kita?

Mengikut undang-undang sedia ada, Dewan Undangan Negeri Sarawak akan terbubar pada bulan depan dan pilihan raya negeri harus diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran. Adakah ahli-ahli politik kita mampu untuk menghadapi pilihan raya dalam suasana yang berbeza dengan corak kempen yang belum pernah dilakukan?

Sebenarnya COVID-19 juga menguji daya kreativiti kita untuk menjalankan perkara wajib dengan inovasi yang lebih meluas. Cara yang paling mudah adalah dengan pengisytiharan darurat, dan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri digantung.

Tetapi adakah Darurat boleh menjamin COVID-19 tidak menular dan pilihan raya tidak perlu diadakan bagi tempoh yang panjang?

Kita harus mengadaptasi diri dengan keadaan di sekeliling dan bukan mengharapkan agar persekitaran berubah untuk menyesuaikan dengan kehendak manusia. Integriti dalam semua aspek kehidupan, pentadbiran, penguatkuasaan, politik, sosial dan agama harus dititikberatkan. Sekiranya semua lapisan masyarakat memegang kepada prinsip integriti sejagat, maka ancaman COVID-19 akan dapat dikurangkan dan kita semua dapat menjalankan kehidupan dengan norma yang baharu dengan lebih selesa.

Penulis ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *