Pilihan raya di Malaysia: Pilih calon atau parti?

 Pilihan raya di Malaysia: Pilih calon atau parti?

SEBAGAI sebuah negara demokrasi dengan raja berperlembagaan, Malaysia perlu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya pada tahun 2023. Mengikut Perlembagaan Persekutuan hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Pembubaran tersebut akan dilakukan atas nasihat Perdana Menteri. Dengan lain perkataan, hanya Perdana Menteri yang akan mengetahui dengan tepat tentang tarikh PRU15.

Dalam keadaan COVID-19 masih lagi berada dalam kategori pandemik yang membimbangkan, sudah pasti Perdana Menteri akan mengambil kira segala aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebelum memanggil PRU15. Walaupun Malaysia kini menghampiri imuniti kelompok dengan majoriti rakyat dewasa telah menerima vaksin yang sewajarnya, namun penularan COVID-19 tidak boleh diambil ringan oleh masyarakat. Faktor politik harus digabungkan dengan faktor keselamatan rakyat bagi menetukan tarikh PRU15.

Malaysia telah melalui 14 pilihan raya umum semenjak merdeka. Pengundi memilih calon mengikut mengikut sistem majoritarian First-Past-The Post (FPTP). Sistem ini adalah sistem pilihan raya yang diwarisi daripada sistem Westminster yang diamalkan di Britain. Mengikut sistem FPTP, Malaysia dibahagikan kepada 222 kawasan Parlimen. Setiap pengundi berdaftar diletakkan di dalam salah satu kawasan Parlimen mengikut alamat yang tercatat di atas kad pengenalan. Dalam pilihan raya, pengundi akan memilih seorang daripada calon-calon yang bertanding di kawasan Parlimen tersebut.  Calon yang mendapat undi terbanyak di antara calon-calon bagi kawasan tersebut akan diisytiharkan sebagai pemenang dan menjadi ahli Parlimen yang akan mewakili penduduk bahagian yang dia menang.

Seterusnya Agong akan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri. Biasanya Agong akan melantik ketua parti yang memperoleh kerusi terbanyak tetapi sejarah telah menunjukkan bahawa tidak semestinya ketua parti politik yang dilantik menjadi Perdana Menteri.

FPTP adalah sistem pilihan raya yang paling ringkas dan mudah jika dibandingkan dengan banyak sistem pilihan raya yang lain, antaranya Proportional Representation, Two-Round System, Alternative Vote System dan Mixed Member Presentation. FPTP di Malaysia diasaskan melalui laporan Suruhanjaya Reid pada tahun 1956 dan memenuhi prinsip asas pilihan raya iaitu ‘mudah dan berperwakilan’. Dalam FPTP, proses pilihan raya dan pengiraan undi serta pembentukan kerajaan adalah mudah iaitu parti politik atau gabungan parti-parti politik yang mendapat jumlah kerusi terbanyak di dalam Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan. Di samping mudah, sistem ini juga memberi ruang yang besar warganegara untuk mendaftar sebagai pengundi dan seterusnya mengundi tanpa halangan atau syarat yang ketat.

Di sebalik sistem yang mudah, FPTP yang diamalkan di Malaysia menjadikan calon dan parti politik yang gagal memperoleh kerusi di Dewan Rakyat akan kehilangan ruang untuk terlibat di dalam proses pentadbiran negara, walaupun mungkin mereka tewas dengan perbezaan undi yang kecil. Ini adalah kerana mengikut sistem ini, ‘yang menang akan menang semua dan yang kalah akan kalah semua’.

Walaupun baru-baru ini kerajaan pusat disarankan untuk bekerjasama dengan pihak pembangkang, secara rasminya kerajaan tidak perlu untuk berbuat demikian. Ini kerana kerajaan terdiri daripada gabungan parti-parti yang mempunyai bilangan kerusi majoriti di Dewan Rakyat.

Sistem ini juga memerlukan pembentukan kawasan pilihan raya bagi menentukan jumlah kerusi di Parlimen. Kawasan pilihan raya ini sering menjadi pertikaian kerana di negara ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa yang luas untuk menentukan sempadan dan saiz sesebuah kawasan pilihan raya setiap lapan tahun. Laporan proses kajian semula bahagian pilihan raya akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen bagi diputuskan dan dijadikan undang-undang. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri mempunyai hak untuk membuat pindaan kepada laporan tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen. Ini menimbulkan keraguan terhadap cadangan yang disediakan oleh SPR. Persempadanan bahagian pilihan raya juga sering didakwa sebagai gerrymandering atau persempadanan yang tidak sekata dan memberi kelebihan kepada pihak tertentu terutama parti memerintah.

Sistem FPTP tanpa kawalan terhadap perbuatan melompat parti juga membuka sistem pentadbiran negara kepada risiko. Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh melompat dari satu parti kepada parti yang lain, sama ada secara persendirian atau berkumpulan, tanpa menyebabkan kehilangan kerusi mereka. Tindakan mereka ini boleh menyebabkan parti asal mereka kehilangan majoriti sehingga meruntuhkan sesebuah kerajaan. Kejatuhan parti pemerintah di pertengahan penggal pemerintahan boleh mengganggu kelancaran pentadbiran negara dan menyebabkan kegusaran rakyat keseluruhannya.

Di dalam sistem demokrasi, pilihan raya bertujuan untuk memilih wakil bagi membawa suara dan hasrat rakyat di dalam pentadbiran negara. Bagaimanapun sekiranya sistem pemilihan tersebut sendiri boleh mengancam kesejahteraan rakyat, maka rakyat harus memikirkan sistem alternatif yang boleh memastikan kepentingan rakyat terjamin.

Walaupun semua maklum bahawa tiada sistem pilihan raya yang sempurna, namun kesejahteraan dan kepentingan rakyat harus diutamakan.

 

Amerul Muner Mohammad merupakan mantan Ketua Eksekutif ERC

 

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *