Pil kamera memburu kanser kini diuji

 Pil kamera memburu kanser kini diuji

SATU kaedah baru yang inovatif bagi membantu melawan penyakit kanser kini sedang diuji di United Kingdom.

Menurut laman web Futurism, seramai 11,000 pesakit yang mengalami simptom-simptom kanser usus di seluruh Britain kini termasuk di dalam senarai untuk menerima dos kapsul istimewa mengandungi sebuah kamera halus yang direka untuk mengesan pelbagai jenis kanser.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) UK Simon Stevens berkata, “Ketika keadaan kita semakin baik dari segi usaha membenteras wabak COVID-19, NHS sekarang memberikan lebih fokus kepada usaha-usaha yang inovatif bagi menyembuhkan penyakit-penyakit lain.

“Sebab itulah kami kini menguji kapsul kamera ini yang membolehkan lebih ramai pesakit disaring dengan cepat dan selamat.”

Tambah beliau, “Jika dahulu solusi sebegini mungkin hanya wujud di dalam filem sains fiksyen, kini ianya realiti. Kamera mini ini hanya perlu ditelan seperti pil ubat biasa, dan ia akan merakam dan mengesan apa-apa tanda kanser ataupun masalah lain seperti Crohn’s Disease.”

Menurut para penyelidik, pil yang dinamakan PillCam ini jauh kurang invasif berbanding kaedah-kaedah mengesan kanser yang lain. Setelah ditelan, kapsul ini akan bergerak menerusi sistem usus pesakit dan mengambil dua foto setiap saat. Gambar-gambar ini akan dihantar dan disimpan di dalam gajet perakam data yang dibawa oleh pesakit ketika mereka menjalankan aktiviti harian.

“Setiap tahun, kami mendiagnos kira-kira 42,000 kes kanser usus di England, bersamaan lebih 100 pesakit setiap hari,” kata Pengarah Klinikal Kanser NHS Peter Johnson. “Kami berpendapat, kapsul kamera ini merupakan pilihan yang lebih baik, berbanding menunggu prosedur kolonoskopi normal.”

Menelan pil kamera ini jauh lebih selesa jika dibandingkan dengan prosedur endoskopi, yang mana satu kamera kecil dihujung tiub panjang yang fleksibel dimasukkan ke dalam badan pesakit menerusi rongga tekak.

Menurut seorang pesakit, proses menelan pil tersebut amat selesa dan tiada komplikasi. “Ia langsung tidak sakit,” kata Maryam Rad.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  27  =  35