PIK Chengal beri akses Internet 1,500 keluarga

 PIK Chengal beri akses Internet 1,500 keluarga

Oleh Ama Alias

KETEREH, 27 Feb: Sejak pandemik wabak COVID-19 melanda, hampir semua sektor mengalami perubahan drastik termasuk bidang pendidikan di mana pembelajaran atas talian mula mengambil alih fungsi kelas fizikal.

Pada November lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh negara.

Pelaksanaan itu memberi impak tertentu khususnya kepada pelajar di luar bandar dan ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam soal jaringan talian internet dan keupayaan menyediakan telefon pintar.

Mujurlah, kewujudan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dibina di kawasan terpilih luar bandar mampu mengatasi masalah yang dihadapi pelajar.

Antara yang mendapat manfaat PIK ialah 1,500 keluarga ‘buta kawasan jaringan internet’ di Kampung Chengal, dekat ini yang terletak di kawasan utama Sekolah Menengah dan Rendah Kampung Chengal, Klinik Kesihatan Chengal dan kawasan penduduk berpendapatan rendah.

Pengurusnya, Mohd Ilham Ruslay berkata, PIK itu dibina sejak 2013 dengan kemudahan seperti di kafe siber dengan penggunaan komputer dan internet percuma.

PIK itu mempunyai akses internet selaju 20 megabit sesaat (Mbps) dan mampu dilayari tanpa gangguan oleh lebih 20 pengguna pada satu masa.

“Kita juga sediakan 20 komputer dengan dua kakitangan di sini bagi membantu pengunjung khususnya pelajar yang ketika ini mengikuti kelas PdPR,” katanya.

Wi-Fi percuma turut disediakan dengan pelajar dibenar membawa komputer riba sendiri selain kemudahan fotokopi yang harga jauh lebih murah berbanding kedai di luar dan selesa dengan kemudahan penghawa dingin.

Beliau berkata, PIK itu dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang dan membantu lebih 200 pelajar sekolah rendah dan menengah kawasan berkenaan yang kebanyakkan ibubapa daripada golongan bekerja kampung, pesawah dan pesara.

“Kita juga menyediakan talian khas di mana ibubapa boleh membuat tempahan fotokopi kerja sekolah anak-anak mereka dan mereka hanya menghantar pesanan melalui Whatsapp kepada kami dan apabila sudah siap, mereka akan ambil fotokopi secara pandu lalu.

“Ini sekaligus menjimatkan masa dan mengurangkan kontak dekat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Selain itu, PIK Kampung Chengal turut menyediakan kelas belajar Microsoft Office, cara menggunakan komputer, kelas fotografi, reka grafik, video dan kelas usahawan  atas talian.

Mohd Ilham membantu pengunjung yang datang ke PIK Chengal

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Chengal, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, kewujudan PIK itu melegakan golongan ibubapa dan pelajar kampung itu dan kawasan sekitar kerana kawasan itu tidak mempunyai liputan internet atau blind spot.

Katanya, dengan adanya PIK, kos dapat dijimatkan dan suasana belajar juga selesa.

Bagi pelajar, Nur Anis Ghazali, 19 dia dapat mengikuti kelas dalam talian dengan tenang di PIK bagi meneruskan pengajiannya dalam kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu.

“Suasananya selesa, lengkap kemudahan komputer dan internet percuma, sangat membantu saya menjadi kelas atas talian,” katanya.

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

52  +    =  53