• Friday, 18 June 2021, 1:23 am

Piala Malaysia pertama kini berusia 100 tahun

 Piala Malaysia pertama kini berusia 100 tahun

Piala HMS Malaya Bola Sepak (kiri) dan Ragbi kini sudah mencecah usia 100 tahun

SEBUT sahaja bola sepak, umum mengetahui ianya antara sukan yang menyatukan masyarakat tidak kira bangsa dan umur kerana peminat sukan ini akan tetap sokong pasukan negara sehingga ke akhirnya.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertembungan antara negara, semangat kekitaan menjadi semakin kuat dan padu.

Menjulang atau mencium piala yang dimenangi menjadi satu kemestian buat sang juara dan apabila bercerita tentang kisah piala, tahukah anda sejarah Piala Malaysia yang pertama?

Kapal Her Majesty Ship Malaya diukir di Piala HMS bola sepak.

Piala Malaysia julung kalinya diperkenalkan pada tahun 1921 dan ketika itu menjadi milik Singapura selepas menewaskan Selangor 2-1 di Padang Kelab Selangor (kini dikenali sebagai Dataran Merdeka).

Ukiran yang terdapat di Piala HMS bola sepak menunjukkan Singapura pasukan pertama menjulang piala berkenaan pada tahun 1921 dengan menewaskan Selangor 2 – 1.

Tahun ini genap 100 tahun kewujudan Piala Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Piala HMS Malaya (Her Majesty Ship).

Sejarah piala pertama ini bermula apabila sebuah kapal perang Inggeris berstatus kelas Queen Elizabeth, HMS Malaya melawat Tanah Melayu dalam tahun 1921 dan berlabuh selama sebulan untuk melawat jajahan takluk dan sekutu British termasuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Terdapat dua Piala HMS Malaya yang direka khas di London khusus bagi sukan bola sepak dan ragbi Malaysia. kedua-dua piala berkenaan tiba di Malaysia pada tahun 1921 sempena dengan lawatan oleh rombongan Duke of Connought.

Kapal Perang ini telah dinamakan HMS Malaya untuk memberi penghormatan kepada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang membiayai pembinaan kapal perang dan kapal ini berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Lawatan HMS Malaya ini telah menjadi satu permulaan kepada dua acara perlawanan sukan tahunan yang masih berterusan sehingga kini iaitu sukan bola sepak dan ragbi.

Ayat “Dipelihara Allah” diukir pada bahagian atas piala bola sepak.

Selepas 46 tahun digunakan, ia digantikan dengan Piala Malaysia yang kini masih digunakan iaitu piala yang ketiga.

Pada tahun 1967, Persatuan Bola Sepak Malaysia memutuskan Piala HMS yang dipertandingkan itu digantikan dengan piala baru, iaitu Piala Malaysia.

Kejuaraan itu disertai oleh semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Piala itu telah diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada 19 Februari 1968 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika itu.

Seorang kakitangan Jabatan Muzium Malaysia membuat konservasi bagi memanjangkan hayat artifak atau koleksi.

Kini disimpan rapi sebagai koleksi oleh JMM, usaha untuk memulihara artifak berkenaan telah dilakukan dengan teliti mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sepanjang berada dalam jagaan JMM, piala ini hanya pernah dipertontonkan pada orang ramai sebanyak dua kali.

Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *