PHD guna dron kesan pencerobohan hutan simpan

 PHD guna dron kesan pencerobohan hutan simpan

Kakitangan PHD Raub memusnahkan pokok durian klon Musang King yang ditanam di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras

Oleh Mohd Fikri Mie

RAUB, 18 April – Pejabat Hutan Daerah (PHD) ini akan terus mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan yang dijadikan kebun tanpa kebenaran.

Pegawai PHD, Shahril Mohamad berkata, beberapa kawasan hutan simpan di daerah ini akan terus dipantau bagi memastikan ia tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

SElain aktiviti rondaan secara berjadual oleh pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) pihaknya turut akan menggunakan dron bagi memantau hutan simpan di daerah ini yang kawasannya berbukit.

Katanya, penceroboh meneroka hutan simpan untuk dijadikan kebun secara berperingkat bagi mengelak dikesan.

Kakitangan PHD Raub menanam pokok balak spesies keladan di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras yang diceroboh

“Kami tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini dan tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kami juga mengharapkan masyarakat setempat melaporkan kepada PHD Raub sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini,” katanya, dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan pihaknya mengesan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini, minggu lalu.

Kawasan seluas 16.2 hektar diteroka secara haram dengan tanaman pisang, durian klon Musang King dan Duri Hitam.

Shahril berkata, pihaknya bertindak tegas dengan memusnahkan pokok berkenaan yang berusia antara tiga hingga empat bulan, tindakan menebang lebih 5,300 pokok pisang dan durian Musang King serta Duri Hitam dilakukan secara berperingkat.

“Kawasan yang diteroka akan ditanam secara berperingkat dengan lebih 10,000 pokok balak pelbagai spesies yang sesuai di situ, antaranya keladan dan meranti.

“Fasa pertama 100 pokok spesies keladan sudah ditanam minggu lalu dan aktiviti penanaman seterusnya dilakukan bulan depan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

83  −    =  82