• Thursday, 17 June 2021, 12:42 pm

Pharmaniaga mampu sedia 12 juta dos vaksin Sinovac

 Pharmaniaga mampu sedia 12 juta dos vaksin Sinovac

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 29 Mei – Sebanyak 12 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac mampu dibekalkan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk kegunaan rakyat di negara ini menjelang Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah dos berkenaan mencukupi menampung seramai enam juta penerima bagi mendapatkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Pihaknya berharap kerajaan akan mempercepatkan penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pharmaniaga sedang menyediakan bekalan vaksin Sinovac dan dijangka menjelang Julai ini, kita akan mengeluarkan 12 juta dos vaksin untuk kegunaan enam juta penerima.

“Namun begitu, jumlah vaksin yang besar tidak akan dapat dimanfaat sepenuhnya sekiranya jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak ditambah.

“Sehubungan itu saya menyeru kerajaan melaksanakan ‘parallel vaccination’ seperti di Indonesia, iaitu melibatkan pemain industri kesihatan swasta dalam pemberian vaksin bagi membolehkan negara mencapai sasaran imuniti kelompok yang ditetapkan secepat mungkin,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Pasir Gudang kepada PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Khaled yang juga Pengerusi Boustead Holdings Berhad berkata, usaha itu penting kerana jika hanya bergantung kepada aset kerajaan, usaha itu akan mengambil tempoh terlalu lama.

“PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam ini misalnya hanya mampu melakukan suntikan vaksinasi kepada seramai 1,000 penerima sehari, jika diikutkan jumlah penduduk setempat, ia akan memerlukan tempoh lebih daripada setahun untuk selesai.

“Jadi, kerajaan perlu menyegerakan penglibatan industri kesihatan swasta terpilih dalam membantu proses vaksinasi, khususnya di kawasan penting seperti kawasan perindustrian bagi membolehkan sektor ekonomi terus berjalan dalam keadaan lebih terkawal,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *