• Monday, 21 June 2021, 3:44 am

PH tolak cadangan Pejuang

 PH tolak cadangan Pejuang

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kembali Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Dalam sebuah kenyataan rasmi hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata mereka tetap mahu sidang Parlimen dibuka semula sebagaimana yang dikehendaki sebelum ini.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Mageran ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata mereka.

Semalam, Dr Mahathir berkata beliau mencadangkan supaya ditubuhkan Mageran bagi menangani pelbagai masalah yang berlaku dalam negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan yang tidak menentu ketika ini lebih-lebih lagi pandemik COVID-19 yang semakin mengganas memerlukan penubuhan Mageran itu disegerakan.

Tambah Dr Mahathir, cadangan itu antara intipati yang diperjelaskan oleh beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di sini semalam.

Dr Mahathir mendakwa, penubuhan Mageran adalah untuk menyelesaikan kemelut ekonomi, sosial dan langkah itu pernah dilakukan di negara ini pada tahun 1969.

Walaubagaimanapun menurut Dr Mahathir, Seri Paduka Baginda bertitah cadangan tersebut harus datang dari pihak kerajaan sendiri.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *