PH Johor tolak adakan PRN, fokus bantu rakyat

 PH Johor tolak adakan PRN, fokus bantu rakyat

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor menolak saranan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, sebaliknya mahu tumpu sepenuhnya diberikan dalam membela nasib rakyat.

PH Johor dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, saranan untuk mengadakan PRN pada masa ini sebagai tidak sensitif setelah apa yang dilalui rakyat ketika ini ekoran pandemik COVID-19.

“Kenyataan dikeluarkan Menteri Besar berkaitan kemungkinan pelaksanaan pilihan raya di negeri ini sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

“PH Johor berpendirian segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan meskipun kedudukan Dewan Negeri berada pada angka 28-27 selepas pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditanda tangani oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

PH Johor juga berharap kerajaan negeri tidak menambah mual rakyat terhadap perangai politikus saat mereka sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi survival mereka.

“Krisis kesihatan akibat COVID-19 memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai dan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

“Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah ‘menambah cuka pada luka’ yang dialami rakyat.

“Pada masa yang sama, negara turut bergelut dengan

banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit. Ini suatu sejarah hitam,” ujarnya lanjut.

Pada 22 Disember lalu, Osman meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur setelah mendapati rawatan akibat serangan strok ringan kira-kira dua bulan lalu.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberitahu, pihaknya akan meneliti situasi politik negeri ini dan melihat kemungkinan sama ada pilihan raya perlu diadakan.

Jelasnya, ini disebabkan kedudukan kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan getir dengan hanya memiliki kelebihan satu kerusi.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *