PGA8 rampas 19 ekor burung kakak tua cuba diseludup

 PGA8 rampas 19 ekor burung kakak tua cuba diseludup

KOTA BHARU, 23 Feb — Sebanyak 19 ekor burung Kakak Tua spesis terancam bernilai RM21,350 yang diseludup masuk dari negara jiran, berjaya dirampas sepasukan anggota Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), berdekatan pangkalan haram Pasir Tok Deh, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata, rampasan dilakukan sepasukan anggota ‘Strike Force’ PGA8 yang membuat rondaan Op Benteng secara bermotosikal, di kawasan tanggung jawab di Rantau Panjang.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, anggota ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah kotak, berdekatan tebing Sungai Golok.

“Anggota menghampiri lelaki tersebut dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa polis. Bagaimanapun, lelaki terbabit yang terkejut kemudiannya bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berenang ke seberang Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, selepas anggota PGA8 membuat pemeriksaan sekitar kawasan tersebut, didapati ada empat kotak berwarna coklat yang di dalamnya terdapat burung-burung spesis Kakak Tua dan disyaki diseludup dari negara jiran.

“Kesemua burung itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut, dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

69  +    =  72