Petugas pelbagai agensi boleh banteras rokok seludup lebih berkesan

 Petugas pelbagai agensi boleh banteras rokok seludup lebih berkesan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 April – Pasukan petugas pelbagai agensi boleh menjadi aset yang sangat berkesan bagi membanteras dagangan haram di Malaysia jika ada kesungguhan politik dan sokongan secukupnya diberikan untuk melaksanakan tugas mereka,  kata Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia).

Pernyataan daripada kumpulan advokasi yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada tindak-tanduk jenayah adalah berikutan rampasan terkini Pasukan Petugas Khas Rokok Seludup (ITTF) diketuai Australian Border Force (ABF) ke atas lebih 100 ekar tanaman tembakau haram di tiga lokasi di wilayah New South Wales dan Victoria.

Susulan kejayaan operasi itu, pegawai ITTF daripada pelbagai agensi kerajaan, merangkumi  ABF, Pejabat Cukai Australia, Polis Victoria dan NSW, juga telah memusnahkan lebih 366 tan rokok seludup, yang jika tidak hasilnya akan diguna bagi membiayai jenayah terancang.

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato’ Fazli Nordin dalam satu kenyataan media berkata: “Rampasan terbaharu ITTF jelas membuktikan keberkesanan pasukan petugas pelbagai agensi seumpamanya. Namun di Malaysia, Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang ditubuhkan Januari 2020 bagi mengekang dagangan rokok seludup, belum mencatat sebarang pencapaian.

“Malaysia pada masa ini mempunyai penembusan tertinggi rokok seludup di dunia, iaitu 63.8% rokok dijual di negara ini adalah diseludup, menurut Kajian Rokok Seludup pada Disember 2020 yang dilakukan oleh NIELSEN.”

Pasukan MATF pada asalnya mengandungi wakil dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz, mengumumkan bahawa kerajaan akan menguatkan lagi MATF dengan penyertaan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan.

Dato’ Fazli berkata, memperkuatkan MATF dengan agensi lain adalah wajar dan bagus tetapi tiada laporan lagi mengenai pelan tindakan, inisiatif dilaksanakan atau jika pasukan petugas ada mengadakan mesyuarat bagi menangani dagangan rokok seludup yang bagaikan sudah tidak dapat dibendung sama sekali.

“RTBA Malaysia mencadangkan agar MATF menggariskan matlamat yang boleh dicapai dengan jelas, untuk mengurangkan dagangan rokok seludup. Susulan daripada itu, pasukan petugas boleh kemudian merancang strategi tindakan bagi memenuhi matlamat tersebut dan telus kepada orang ramai mengenai kejayaannya dan juga cabaran yang dihadapi.

“Sama pentingnya juga, kerajaan hendaklah juga menyokong peranan dan kepentingan MATF dengan menyediakan pasukan petugas tersebut dengan sumber-sumber yang tepat termasuk pembiayaan yang mencukupi, latihan dan peralatan supaya MATF boleh berfungsi sewajarnya. MATF tidak dapat berfungsi tanpa kesungguhan politik dan sokongan kewangan,” kata Dato Fazli.

Beliau menegaskan, seiring dengan keadaan ekonomi Malaysia yang dalam proses untuk pulih daripada krisis COVID-19, kerajaan hendaklah melakukan yang terbaik untuk melindungi hasil negara daripada berlaku ketirisan. Dagangan rokok seludup adalah ketirisan dari segi hasil cukai tahunan yang MATF harus lakukan apa sahaja untuk menutup ketirisan tersebut.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  4  =