Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk apabila dijangkiti COVID

 Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk apabila dijangkiti COVID

KUALA LUMPUR, 17 April  — Semua petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 selepas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, mengalami gejala yang tidak teruk, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Memang jelas kita masih boleh dijangkiti selepas lengkapkan vaksinasi, namun jangkitan itu tidaklah teruk sangat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Katanya walaupun vaksin membawa sedikit harapan dalam perjuangan melawan penyakit tersebut, orang ramai perlu ingat bahawa itu tidak bermakna mereka boleh mengabaikan langkah-langkah kesihatan awam selepas vaksinasi mereka lengkap.

Dr Noor Hisham menegaskan tidak ada sesiapapun yang terjamin selamat sehingga semua orang selamat dan meminta orang ramai agar terus mematuhi semua langkah pencegahan.

Menurut beliau, 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti setelah lebih dua minggu menerima dos kedua sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas inokulasi.

Dr Noor Hisham berkata seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti selepas menerima dos pertama, manakala 244 orang pula dijangkiti sebelum menerima vaksin berkenaan.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  7  =