• Monday, 21 June 2021, 3:57 am

Petronas umum penemuan gas kedua di perairan cetek Balingian

 Petronas umum penemuan gas kedua di perairan cetek Balingian

Kredit foto PETRONAS

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Petronas Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan penemuan gas di telaga cari gali ‘wildcat’ Kulintang-1, Blok SK438, yang terletak di perairan cetek daerah kecil Balingian, kira-kira 230 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.

Telaga ‘wildcat’ bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau telah dieksploitasikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.

Telaga Kulintang-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,238 meter pada April 2021.

Gas itu ditemui dalam takungan batu pasir era Oligosen hingga Pertengahan Miosen, yang belum dinilaikan sepenuhnya sebelum ini, menurut Petronas dalam kenyataan pada Rabu.

PTTEP HK Offshore Ltd merupakan pengendali bagi Blok SK438 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 80 peratus manakala Petronas Carigali Sdn Bhd memiliki baki 20 peratus.

Kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi blok itu diberikan pada Mac 2018 susulan Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2017.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata kejayaan telaga Kulintang-1 menandakan penemuan gas kedua dalam daerah Balingian tahun ini.

“Hasil memberangsangkan ini membuktikan potensi seterusnya bagi gas asli yang mengandungi peratusan kecil atau tiada langsung kandungan hidrogen sulfida di daerah ini, terutama dalam keadaan geologi Oligosen yang lebih dalam,” katanya.

Beliau berkata penemuan gas itu boleh menjana perolehan menerusi infrastruktur sedia ada bagi memenuhi permintaan pelanggan gas domestik, serta Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Pada Mac tahun ini, Petronas mengumumkan satu penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B, juga terletak dalam perairan cetek Balingian.

Bagi MBR 2021 yang sedang dilaksanakan, Petronas menawarkan 13 peluang baharu di lembangan prolifik Malaysia, termasuk beberapa blok dalam Balingian.

MBR 2021 turut disertakan terma fiskal dan bukan fiskal yang ditambah baik.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan Petronas untuk berkembang bersama-sama rakan kongsinya di Malaysia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *