Petronas mungkin tangguh bidaan kontrak FSPO Limbayong

 Petronas mungkin tangguh bidaan kontrak FSPO Limbayong

Petronas mungkin tangguh bidaan kontrak FSPO Limbayong. Foto – Laman Web Petronas

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Bidaan bagi kontrak kemudahan penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) di Limbayong, luar pesisir Sabah yang kemungkinan ditangguhkan oleh Petronas dilihat tidak menjejaskan momentum pelancaran kontrak baharu dalam sektor minyak dan gas (O&G), menurut AmInvestment Bank Research.

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan ‘overweight’ berdasarkan kepada prospek sektor O&G masih kekal berdaya tahan.

Memetik laporan DagangNews.com, Penganalisisnya, Alex Goh berkata, masih terdapat banyak penyewa FSPO yang sedang dalam perancangan di peringkat global meskipun syarikat pengendali dengan kedudukan kewangan stabil mempunyai pilihan terhad selepas berdepan penurunan harga minyak sekitar 2015 hingga 2017.

Katanya, ini terbukti apabila Yinson Holdings Bhd. baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Enauta Participacoes S.A. yang berpangkalan di Brazil untuk rundingan terus dan eksklusif bagi membekalkan FSPO dengan potensi tukaran kos sehingga AS$500 juta di lapangan minyak Atlanta, Santos Basin, luar pesisir Brazil. Ia dijangka mencapai kontrak yang dimuktamadkan menjelang Januari 2022.

“Selain bersaing dengan MISC Bhd. dalam bidaan kontrak Limbayong, Yinson turut membida projek pengangkut bagi Pecan, di luar pesisir Ghana dengan pilihan pembelian bagi FSPO Woodside Nganhurra.

“Di samping itu, Yinson bersama Technip Energies turut menjalankan perkhidmatan Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Depan (FEED) membabitkan Total Energies untuk 2 FSPO bersaiz besar yang dipasang di Cameia Block 20/21, Angola dan Maka, Block 58, Suriname.

“Masih memiliki 300,000mt VLCC Hawk (sebelum ini, Apollonia), Yinson juga tidak berputus asa dengan kontrak pengangkut FSPO bagi lapangan minyak Parque das Beleias di Brazil yang dibatalkan 2 kali sejak tahun lalu,” katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

Projek Pembangunan Limbayong Deepwater, medan gas minyak dan tidak bersekutu terletak 120 kilometer (km) di luar pesisir Sabah dengan kedalaman antara 900 sehingga 1,200 meter.

Seperti dilaporkan Upstream Online, Petronas kemungkinan menangguhkan bidaan bagi kontrak FSPO di Limbayong dengan kerajaan negeri Sabah mahu melihat lebih banyak penyertaan tempatan dalam projek tersebut di perairan negerinya.

Tender bagi kontrak tersebut hanya dibuka kepada firma Malaysia atau syarikat usaha sama yang diterajui firma tempatan.

Antaran pembida tersebut termasuklah Yinson Holdings, MISC, Sabah International Petroleum (SIP) dan
syarikat usaha sama antara Bumi Armada, MTC dan Shapoorji Pallonji (India).
Upstream turut melaporkan SIP dilihat dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh kontrak berkenaan walaupun pesaing lain masih terus membida.

Menurut Goh, dengan kemungkinan bidaan itu ditangguhkan, ia membolehkan Petronas menangani isu prosedur atau mengeluarkan tender baharu tidak lama lagi memandangkan syarikat O&G negara itu telah menganugerahkan kontrak peralatan bawah laut kepada TechnipFMC pada Jun lalu.

“Sebagai penyelesaian alternatif pula, terdapat penemuan lapangan minyak Bestari berhampiran, yang sebagai lapangan pengikat kepada Limbayong, yang menempatkan FPSO dan bukannya Limbayong.

“Keputusan pelaburan untuk Bestari akan dijadualkan berakhir tidak lama lagi, dan sumber-sumber Upstream mencadangkan bahawa mengembangkan Bestari terlebih dahulu dapat memberi hasil ekonomi yang lebih baik,” jelas beliau.

Secara dasarnya, Goh mendapati, kontrak bagi sektor O&G pada suku ketiga kembali meningkat sebanyak 86% suku ke suku kepada RM4.2 bilion, dengan sebahagian besarnya dianugerahkan kepada Sapura Energy Bhd.

Tidak termasuk kontrak pembinaan bernilai RM1.5 bilion diperoleh Serba Dinamik Holdings Bhd. untuk membina pusat data di Abu Dhabi pada Ogos 2020, kontrak yang dianugerahkan pada suku ketiga 2021 melonjak 41% bagi perbandingan tahun ke tahun.

“Kami bagaimanapun terus menyukai saham Dialog Group Bhd. berdasarkan kedudukannya yang kukuh dalam operasi terminal tangki dan penyelenggaraan.

“Yinson pula mempamerkan momentum pendapatan menyakinkan menerusi kapal FPSO Helang, luar pesisir Sarawak; Abigail-Joseph, Nigeria dan Anna Nery, Brazil serta beberapa peluang bagi kontrak kapal pengangkut di Brazil dan Afrika.

“Sementara itu, Petronas Gas pula menawarkan hasil dividen yang cukup menarik menerusi strategi struktur modal yang optimum dan asas pendapatan kukuh,” katanya.

AmInvestment turut mengekalkan unjuran harga minyak bagi 2021-2022 sekitar AS$65 hingga AS$70 setong berbanding prospek tenaga jangka pendek yang dikeluarkan Agensi Maklumat Tenaga (EIA), sekitar AS$69 setong bagi 2021 dan AS$66 setong pada 2022.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *