Petisyen desak Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan

 Petisyen desak Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan

Kredit foto Reuters

Susunan Iqhram Ahmad

PENINGKATAN kes jangkitan COVID-19 di Jepun, terutamanya di Tokyo telah menyebabkan satu petisyen diwujudkan dalam talian (online) yang disertai majoriti rakyat Jepun serta luar negara bagi memastikan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Sejak dilancarkan pada 5 Mei lalu, petisyen yang diketuai oleh bekas Ketua Persatuan Peguam Jepun, Kenji Utsunomiya berjaya mengumpulkan lebih 350,000 tanda tangan dalam talian dari rakyat Jepun dan luar negara yang mendesak kejohanan sukan berkenaan dibatalkan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung pada Julai tahun lalu terpaksa ditangguhkan kepada 23 Julai ini kerana dibadai gelombang pertama COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Perjuangan menentang pandemik COVID-19 di Jepun dan seluruh dunia masih jauh daripada mencapai kemenangan. Kesan pandemik di Tokyo mula menampakkan impak apabila bilangan mangsa yang dalam keadaan serius kian bertambah.

“Jika acara sukan ini diteruskan, keutamaan sumber kewangan bagi perubatan yang amat bernilai akan disalurkan kepada sukan berkenaan berbanding kepada rakyat Jepun yang sedang bertarung nyawa.

“Persoalan utama ialah, haruskah keutamaan diberikan kepada penganjuran sukan Olimpik berbanding nyawa rakyat,” kata Kenji Utsunomiya dalam sebuah kenyataan.

Tambahnya, acara Sukan Olimpik harus dibatalkan jika penganjurannya tidak diterima secara baik dan ikhlas oleh semua pihak yang terlibat, terutama dari pihak tuan rumah.

Sementara itu, sebuah lagi petisyen dalam talian yang menyokong penganjuran Sukan Olimpik turut diadakan dengan mencadangkan penambahan protokol dan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3