Peserta e-Kasih terima sumbangan PRE Ihsan Johor 3.0

 Peserta e-Kasih terima sumbangan PRE Ihsan Johor 3.0

Hasni bertanya khabar Zainal Mohamad Darwish semasa menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU, 10 Jul — Seramai enam peserta e-Kasih menerima sumbangan wang tunai RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 di di kediaman mereka sekitar di daerah ini semalam.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad .

Hasni berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 bertujuan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas sepanjang menghadapi pandemik COVID-19.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan penerima dan saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan Johor sentiasa bersedia membantu rakyat negeri ini menerusi pelbagai inisiatif selain daripada bantuan kewangan dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bantuan barangan makanan dan keperluan asas yang turut diberikan kepada penerima merupakan sumbangan Pejabat Daerah Johor Bahru dan Yayasan Bandaraya Johor Bahru.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Sementara itu, seorang penerima, Zainal Mohamad Darwish, 58, mengakui tidak menyangka Hasni sanggup berkunjung ke rumahnya di Kampung Bakar Batu di sini untuk menyampaikan bantuan tersebut.

“Saya rasa sangat gembira dan bantuan ini sememangnya membawa makna besar kepada saya dan keluarga. Sejak saya kehilangan pekerjaan akibat kaki yang terpaksa dipotong sejak tahun 2019, kami kehilangan punca pendapatan.

“Kami sekeluarga hanya bergantung dengan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan secara bulanan,” katanya.

Sementara itu, Tee Ah Ee, 70, menyifatkan bantuan diberikan kerajaan negeri itu amat bermakna baginya dalam mendepani pandemik COVID-19.

“Saya tinggal seorang di rumah, faktor usia dan keadaan kita kini yang sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan saya untuk keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, Ah Ee turut berkongsi komen rakannya dengan Menteri Besar Johor selepas dia memberitahu pemimpin itu akan berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan.

‘Johoreans are very lucky’, demikian komen yang diberikan rakan Ah Ee dan menunjukkannya kepada Hasni.

Dalam pada itu, anak kepada penerima bantuan PRE Ihsan 3.0, M Rajkumaaran, 23, berkata, bantuan itu melegakan keluarganya disebabkan ibunya yang bekerja sebagai pembantu restoran diberhentikan kerja akibat PKP.

“Ayah merupakan orang kurang upaya (OKU) dan saya merupakan seorang pelajar. Sebelum ini, kami bergantung hidup dengan pendapatan ibu sebagai pembantu restoran, namun PKP ini dia tidak dapat bekerja.

“Justeru, dengan adanya bantuan daripada kerajaan negeri, ia sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga menjalani tempoh yang sukar ini,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *