Pesara tentera ditemukan lemas selepas cuba selamatkan kanak-kanak

 Pesara tentera ditemukan lemas selepas cuba selamatkan kanak-kanak

KOTA BHARU, 29 Mac — Seorang pesara tentera ditemukan lemas selepas dihanyutkan ombak, ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mangsa Juhairohafizan Juhari, 35, ditemukan pada jarak 50 meter dari tempat kejadian kira-kira 2.50 pagi.

Beliau berkata Juhairohafizan merupakan mangsa kedua yang maut dalam kejadian itu, cuba untuk menyelamatkan Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang turut hanyut dibawa arus ketika berkelah bersama keluarganya di pulau berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Muhammad Aman Firas ditemui selamat oleh nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian, 11 malam tadi.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan, manakala mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, operasi SAR berkenaan ditamatkan pada 3.32 pagi selepas kesemua mangsa ditemui.

Semalam, dilaporkan, seorang lemas manakala dua lagi hilang dibawa arus dalam satu perkelahan yang bertukar tragedi di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok.

Mangsa pertama yang ditemukan lemas dalam kejadian itu adalah Mohd Sahudin Mat Shaah, 46.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

40  −  33  =