Pesara guru rugi RM25,600 terpedaya Macau Scam

 Pesara guru rugi RM25,600 terpedaya Macau Scam

KUANTAN, 15 Okt — Seorang pesara guru wanita kerugian sebanyak RM25,600 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans beroperasi di Kuala Lumpur.

Mangsa berusia 65 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Omar Safari, wakil insurans yang mendakwa mangsa mempunyai tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM36,800.

Bagi menguatkan lagi dakwaan palsu berkenaan lelaki terbabit menyambungkan panggilan ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan Sarjan Daniel Lee Abdullah yang menyatakan bahawa kes mangsa turut membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Lim Lam Beng.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, Omar yang membuat panggilan menyambung panggilan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Wong Kok Keong yang menyatakan mangsa terbabit dengan kes pengumpulan wang haram sebanyak RM2.18 juta.

Katanya, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang diarahkan supaya membuat penukaran kad ATM milik mangsa dan meletakkan nombor telefon yang diberikan ke dalam kad yang baharu bagi menyiasat kes tersebut.

“Pada 24 September lalu mangsa telah pergi ke Bank Rakyat di Temerloh dan membuat kad ATM dan nombor pin yang baharu dan memasukkan nombor telefon yang diberikan.

“Selepas itu mangsa diarahkan supaya menghantar gambar kad ATM dan buku Tabung Haji yang tertera nombor akaun kepada wanita yang menyamar sebagai Inspektor Mastura untuk tujuan siasatan, mangsa mengikut semua arahan dan dimaklumkan siasatan akan mengambil masa seminggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semalam mangsa telah membuat semakan di akaun Bank Rakyat miliknya dan mendapati sebanyak RM9,600 telah hilang dan wang simpanan Tabung Haji juga telah hilang sebanyak RM16,000.

Mohd Wazir berkata, wang berkenaan dipindahkan ke dalam akaun dua individu iaitu Rosalina Ramlan dan Eddie Ahmad Abdul Basid.

Tambahnya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam selepas merasakan dia ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM25,600.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  −    =  39