Pesara guru hampa durian Musang King RM140 dibeli buruk dan berulat

 Pesara guru hampa durian Musang King RM140 dibeli buruk dan berulat

RAUB..Seorang pesara guru, Salehudin Mat Rasad menunjukan durian Musang King yang buruk. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

RAUB, 30 Jun – Seorang pesara guru hampa selepas durian Musang King yang dibeli di sebuah pusat jualan dan pengumpulan durian di Sungai Klau, di sini buruk dan berulat.

Menurut Salehudin Mat Rasad, 61, dia membeli dua biji durian dengan harga RM140 itu, hanya sebiji yang boleh dimakan manakala sebiji lagi buruk dan berulat.

Durian Musang King yang buruk.

“Semasa membeli saya ternampak kesan lubang pada kulit durian itu tetapi penjual menyatakan isi durian elok dan saya yakin dengan jaminan diberinya.

“Namun apabila dbuka untuk makan bersama keluarga saya terkejut kerana sebiji durian buruk dan berulat, kami hampa kerana baharu ingin merasa durian musim ini, episod berkenaan kejadian,” katanya, di sini semalam.

Salehudin berkata, dia tidak menyangka durian berharga agak mahal itu buruk keseluruhanya kerana dimakan ulat buah.

Katanya, dia sememangnya berasa tidak berpuas hati dan berhasrat meminta ganti rugi daripada peniaga terbabit atau diganti durian yang baharu.

“Saya tidak pasti sama ada boleh atau tidak ditukar dengan buah yang elok tetapi saya berhasrat membawa buah berkenaan kepada penjual dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Raub, Rozma Ab. Rahman berkata, meskipun tidak menerima aduan daripada pengadu pihaknya memandang serius setiap aduan daripada pengguna.

Katanya, pihak KPDNKK akan membuat pemeriksaan mengenai perkara itu termasuklah melakukan pertemuan dengan peniaga terbabit dalam masa terdekat.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  −    =  42