Pesara bomba lumpuh jatuh tangga

 Pesara bomba lumpuh jatuh tangga

Azizah Khamis mengelap badan suaminya, Jalani Saat yang terlantar sakit di rumah mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 26 Feb — Seorang pesara bomba mengalami sakit saraf tunjang selepas terjatuh tangga dan terlanggar tombol pintu ketika menukar lampu kalimantang di ruang tamu rumahnya di Blok 64, Taman Air Biru, di sini awal Oktober lalu.

Kejadian itu menyebabkan lebih separuh badan Jalani Saat, 54, lumpuh  dari paras dada sampai hujung kaki manakala pergerakan tangannya juga terhad dan lemah.

Beliau yang berkhidmat selama 25 tahun sebagai anggota bomba, kini hanya mampu baring di atas tilam dan memerlukan bantuan isterinya, Azizah Khamis, 50, yang menjaga makan minum serta membersihkan diri.

Azizah memberitahu, selepas kejadian jatuh tangga itu, suaminya masih boleh berjalan seperti biasa dan hanya mengadu sakit pinggang sebelum ia terus melarat.

“Ketika dia menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar Oktober lalu, doktor memaklumkan bahawa sakit tulang belakang menyebabkan ia bernanah dan terpaksa memasukkan tiub bagi menyedutnya keluar.

“Suami turut dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dan dimasukkan ke wad selama dua minggu pada November diikuti dengan masuk wad di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Disember bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melihat keadaan suaminya,  Azizah mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah kilang di sini dan berpindah ke rumah teres di Taman Air Biru bagi memudahkan pergerakan membawa suami mendapat pemeriksaan di hospital.

“Wang pencen suami digunakan untuk membeli susu, lampin dewasa, vitamin dan tisu basah. Anak-anak turut berkongsi tanggungjawab membeli keperluan ayah mereka,” katanya.

Nasib yang menimpa pesara bomba itu mendapat perhatian Pertubuhan Kami Prihatin yang menyumbangkan sebuah katil hospital berharga lebih RM3,000.

Menurut Penasihatnya yang juga Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah, pihaknya terpanggil menyampaikan sumbangan bagi memudahkan keluarga itu menguruskan Jalani.

“Diharapkan sumbangan katil ini berserta barang keperluan harian dapat meringankan beban Jalani dan isteri. Kita akan sentiasa lihat keperluan mereka dari semasa ke semasa termasuk menimbang untuk memberikan bantuan kerusi roda,” katanya.

Sesiapa ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Azizah menerusi talian 012-7580285 atau menyalurkan terus ke dalam akaun Maybank 101244160123 atas namanya.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  47  =  54