Pesara biak 200 landak raya

 Pesara biak 200 landak raya

Mohd Nor Ramzol dengan anak landak raya yang diternak.

Oleh Mohd Fikri Mie

LIPIS, 22 April – Minat mendalam dalam bidang ternakan mendorong Mohd Nor Ramzol Mohd Tafri terbabit dengan projek ternakan landak raya secara komersial di Kampung Batu 13 Tempoyang, di sini.

Selepas lebih lima tahun terbabit dengan projek berkenaan, kini kejayaan yang diraih begitu membanggakan apabila memiliki lebih 200 ekor haiwan berduri itu yang ternak menggunakan sistem kurungan simen.

Mohd Nor Ramzol, 58, berkata bermula dengan 12 ekor dibeli daripada rakan berharga RM9,000, jumlahnya terus bertambah setiap bulan kerana landak sejenis haiwan yang mudah membiak.

Landak raya diternak dalam kurungan simen dan diberi makan sayur, ubi dan buah setiap hari.

Keistimewaan lain yang ada pada haiwan eksotik itu, katanya, ia tidak mudah dijangkiti penyakit termasuk luka kecil yang boleh mengundang kepada kematian serta tidak aktif jika berlaku kepada ternakan lain.

“Menternak landak raya jauh lebih mudah dan tidak terlalu membebankan. Saya hanya beri tumpuan terhadap makanan selain menjaga kurungan yang perlu dibersihkan setiap hari.

“Saya membelanjakan kira-kira RM250 sebulan bagi menyediakan makanan landak seperti sayur, ubi dan buah,” katanya, di sini.

Mantan kakitangan MARA itu berkata, landak betina dewasa mampu melahirkan anak dua kali setahun. Selepas berumur tiga hingga empat bulan, anak akan dipisahkan daripada ibu dan ditempatkan dalam kurungan khas.

Mohd Nor Ramzol berkata, makanan yang paling digemari landak raya ialah labu, ubi kentang dan keledek selain kangkong. Ia perlu diberi makan tiga hingga empat kali sehari.

Beliau menambah, untuk menternak landak memerlukan lesen yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), dan tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya gagal memiliki kebenaran tersebut.

Katanya, haiwan eksotik itu memerlukan kurungan yang diperbuat daripada simen sepenuhnya bagi memastikan haiwan itu tidak terlepas kerana gigi landak kuat dan mampu merosakkan jaring besi.

“Saya belajar menternak landak raya menerusi pengalaman sendiri selama dua tahun. Dua anak saya juga banyak membantu menguruskan haiwan terbabit.

“Saya berhasrat memperbesarkan lagi projek ternakan landak raya secara berperingkat kerana permintaan terhadap haiwan eksotik begitu menggalakkan dengan harga yang tinggi.

“Sokongan serta kemudahan yang disediakan agensi berkaitan seperti PERHILITAN Pahang menambahkan lagi semangat saya untuk terus berjaya,” katanya yang sebelum pernah menternak rusa.

Daging landak raya biasanya dimasa gulai, kari dan rendang. Berat seekor landak raya dewasa mampu
mencecah lebih 10 kilogram.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1