‘Persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin’ – Agong

 ‘Persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin’ – Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Jun –  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Menurut kenyataan dari Istana Negara yang dikeluarkan selepas tamat Persidangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini, setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat dari pakar agensi-agensi kerajaan, baginda menzahirkan pendapat bahawa persidangan parlimen perlu diadakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Titah Agong ini sejajar dengan komitmen yang disuarakan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga  Strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Menurut perdana menteri, ini adalah pendirian beliau dari awal lagi, bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan hampir mencapai imuniti berkelompok.

Selain titah tersebut, Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan segera dan menganggap vaksinasi sebagai satu-satunya  ‘exit strategy’ dalam pengawalan wabak berkenaan.

Sehubungan itu, baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu lebih tegas dalam memudahkan birokrasi selain mempercepatkan proses vaksinasi agar matlamat ‘herd imunity’ dapat dicapai lebih awal.

Baginda juga bertitah, pentadbiran kerajaan perlu stabil dan kukuh agar wabak ini dapat dibedung sekali gus memulihkan ekonomi negara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −    =  79