Persidangan Parlimen dijangka akhir Ogos

 Persidangan Parlimen dijangka akhir Ogos

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Tanda tanya bilakah Parlimen akan kembali bersidang terjawab apabila Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersetuju persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Dalam satu kenyataan bersama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berpendapat, ia bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat terlebih dahulu, dijangka pada akhir Julai.

Dalam kenyataan yang sama, Rais dan Azhar turut mencadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan awal Ogos tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sesi sidang khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara teknikal yang berkaitan.

“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian, pentauliahan dan latihan kepada petugas dan Ahli-ahli Parlimen.

“Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama oleh Rais dan Azhar telahpun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi perjalanan persidangan secara hibrid.

Menurut kenyataan itu, persidangan Parlimen secara hibrid itu akan membabitkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara.

“(Ahli-ahli Dewan) yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal (tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan MKN atau KKM) atau maya,” katanya.

Mereka turut mengambil inisiatif bagi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan selepas Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan.

Parlimen negara ini tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  79  =  80