Persefahaman perlu diteruskan, bukan ‘lupa’ apabila sudah berkuasa

 Persefahaman perlu diteruskan, bukan ‘lupa’ apabila sudah berkuasa

Pengakuan jujur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah satu hakikat.

Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan-akan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.

Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO mengakui menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan dengan parti lain, antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.

“Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang pada 11 Disember lalu.

Pendedahan berani Ismail Sabri itu memberikan satu tamparan hebat, terutamanya kepada para pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.

Menurut Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim

Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa, namun apabila sudah berada semula ‘di atas’, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan yang dibina sebelum ini.

“Sebagai contoh, BERSATU berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Sepatutnya, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadangkala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan kaum Bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli

“Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi BERSATU juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.

“Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat walaupun menyebabkan kerajaan Melaka jatuh apabila beberapa pemimpin UMNO sendiri yang menarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

“Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan kepada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita.

“Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik,” soalnya menutup bicara.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

61  +    =  69