Persatuan bank bantu golongan terjejas akibat COVID-19

 Persatuan bank bantu golongan terjejas akibat COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) akan terus memastikan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik dibantu. Ini termasuk pendekatan memberikan moratorium bersasar oleh bank-bank di Malaysia.

Pengerusi ABM, Datuk Abdul Farid Alias berkata ahli ABM juga amat akomodatif menerusi pemberian kemudahan skim bantuan bayaran balik yang berbeza serta mengikut kesesuaian pelanggan.

“Pendekatan secara bersasar ini membolehkan bank-bank melindungi sebahagian modal agar dapat memainkan peranan di peringkat pemulihan dengan lebih berkesan. Modal ini adalah terhad dan kita juga perlu memanfaatkannya dengan secara wajar,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Abdul Farid yang juga presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Maybank, turut menyifatkan moratorium bersasar berkenaan sebagai penyelesaian terbaik berbanding pemberian moratorium automatik atau secara menyeluruh yang menyalurkan bantuan kepada semua, termasuk golongan mewah dan mereka yang mana tidak terjejas akibat wabak COVID-19.

Jelasnya, moratorium secara menyeluruh itu juga bermaksud bahawa terdapat pihak lain yang membayar kos pinjaman mereka iaitu sesuatu yang sebaliknya perlu dilunaskan semua, sama ada secara langsung atau tidak pada kemudiannya.

“(Kemudahan) moratorium ini sepatutnya ditawarkan kepada mereka yang memerlukan sepertimana diamalkan oleh negara-negara lain,” katanya.

Tambah Abdul Farid, mereka yang terjejas teruk akibat sekatan pergerakan — sama ada kehilangan kerja atau sebahagian besar pendapatan perniagaan, akan terus memerlukan kemudahan moratorium tersebut atau pengurangan bayaran balik pinjaman bagi tempoh masa tertentu.

Ia susulan masih terdapat perbelanjaan lain yang perlu dibayar oleh peminjam terbabit seperti sewaan, bayaran bil atau utiliti serta pengangkutan selain kos operasi yang ditanggung oleh pemilik perniagaan.

“Sejajar peranan dalam negara ini, kita wajar secara kolektif mahupun individu bertindak menyokong perniagaan PKS ini, terutama jika mereka beroperasi dalam kawasan kejiranan agar dapat meneruskan kelangsungan (operasi) masing-masing dalam tempoh-tempoh sekarang.

“PKS juga boleh meneliti kemungkinan mengubah model perniagaan masing-masing dengan memanfaatkan platform digital untuk menawarkan perkhidmatan atau produk selain menggunakan perkhidmatan penghantaran yang terdapat di negara ini,” katanya.

Malaysia merupakan satu antara sebilangan kecil negara-negara yang telah melaksanakan kemudahan moratorium secara automatik.

Sebahagian besar negara telah melaksanakan skim menyamai Bantuan Pembayaran Balik (RA)  dan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) yang berdasarkan atau mengikut keperluan berkaitan.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  7  =