Persaraan penuh gemilang buat Shukor Adan

 Persaraan penuh gemilang buat Shukor Adan

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Beraksi sebanyak 7 kali di pentas akhir Piala Malaysia dan menjulang Piala Malaysia pada malam terakhir bergelar pemain bola sepak profesional sudah pastinya detik penuh gemilang buat pemain veteran, Shukor Adan.

Pada usia 42 tahun, satu usia yang amat jarang bagi seorang pemain bola sepak profesional di Malaysia dapat bertahan dan bermain dengan prestasi yang ditonjolkan seperti Shukor sendiri.

“Dalam umur 42, saya tidak sangka akan ke final bersama Bojan walaupun kurang minit bermain tetapi atas kepercayaan jurulatih, saya masih ada dalam pasukan.

Pengakhiran yang penuh gemilang buat Shukor Adan

“Saya dah umumkan persaraan sebagai pemain bola sepak, ini satu perkara yang saya sudah capai pada penghujung karier dan saya berbangga dengan pencapaian Kuala Lumpur pada musim ini,” kata Shukor yang berjaya meraih kejuaraan trofi Piala Malaysia buat kali kelima.

Selama 24 tahun mengerah kudrat dalam kancah bola sepak Malaysia, Shukor turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan Kuala Lumpur yang akhirnya menjulang Piala Malaysia setelah penantian selama 32 tahun.

“Saya pun berasa bangga berada dalam skuad ini. Persaraan saya yang amat baik sekali. Terima kasih kepada pengurusan, jurulatih (Bojan), para pemain dan yang paling penting doa dari keluarga saya,” katanya selepas tamat perlawanan akhir Piala Malaysia pada Selasa.

Shukor mula beraksi bersama skuad utama Malaysia ketika kelayakan Piala Dunia 2002 pada tahun 2001. Shukor juga merupakan tonggak pasukan bawah 23 tahun Malaysia yang memenangi pingat perak pada kejohanan Sukan Sea 2001.

Shukor juga merupakan salah seorang pemain yang mewakili Malaysia ketika Malaysia tewas 6-0 kepada Manchester United pada 2001 dan pernah mewakili negara menentang Brazil pada 2002, Malaysia tewas 0-4 dalam perlawanan itu.

Kuala Lumpur City menamatkan kemarau 32 tahun selepas muncul juara Piala Malaysia edisi ke-100 menumpaskan JDT dengan jaringan 2-0.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  56  =  58