Persamaan hari raya dan pilihan raya

 Persamaan hari raya dan pilihan raya
Oleh Amerul Muner Mohammad

 

HARI raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia  sebagai tanda kemenangan melawan lapar, dahaga, nafsu dan lain-lain dugaan duniawi di sepanjang Ramadan. Dugaan-dugaan ini bukanlah perkara yang mudah bagi sesetengah orang kecuali mereka yang beriman yang sentiasa mengambil kesempatan untuk beribadah di sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Islam menggalakkan umatnya merayakan Aidilfitri secara sederhana. Namun telah menjadi budaya di negara ini hari raya disambut secara besar-besaran hampir di sepanjang bulan Syawal. Rakyat membelanjakan wang untuk sambutan dan juga berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman untuk merayakan hari kebesaran tersebut bersama dengan kaum keluarga dan sahabat handai.

Begitu juga dengan pilihan raya. Setiap lima tahun, rakyat Malaysia akan merayakan hari kebesaran demokrasi apabila Parlimen dibubarkan. Ini bagi memberi pengundi peluang dan ruang untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih wakil dalam kalangan rakyat untuk membawa suara dan aspirasi mereka ke Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN). Sejak pilihan raya umum pertama selepas merdeka, iaitu pada tahun 1959 sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun yang lalu, pilihan raya disambut seolah-olah satu pesta oleh rakyat Malaysia.

Parti-parti politik dan calon-calon yang bertanding bersaing dengan sengit untuk mendapatkan sokongan pengundi. Wang ringgit yang besar dibelanjakan untuk meraih undi, walaupun undang-undang pilihan raya menetapkan jumlah yang tertentu bagi calon di peringkat Parlimen dan DUN. Semasa musim pilihan raya, orang-orang politik akan menjadi kreatif untuk berbelanja agar tidak melanggar peraturan yang ditetapkan. Sebagaimana sambutan hari raya, kempen pilihan raya juga menjadi sumber penjanaan pendapatan bagi penyokong dan aktivitis parti politik di pelbagai peringkat.

Ziarah menziarah kaum keluarga menceriakan sambutan hari raya dengan makan dan minum yang tiada putusnya. Begitu juga dengan kempen pilihan raya. Calon-calon akan mengunjungi segenap lapisan pengundi melalui pelbagai program yang dirancang oleh parti masing-masing. Jamuan, kenduri, makan minum dan lain-lain istilah digunakan untuk mengumpul penyokong dan pengundi bagi calon-calon menyebarluaskan manifesto dan agenda masing-masing. Walaupun Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa jamuan dan lain-lain cara untuk membeli undi adalah tidak dibenarkan, namun penguatkuasaan peruntukan-peruntukan tersebut adalah minimum. Semasa kempen pilihan raya berlangsung, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau pematuhan undang-undang pilihan raya. Namun keberkesanan badan ini sering menjadi rungutan banyak pihak.

Sebagai sebuah negara membangun, ramai rakyat Malaysia berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki. Namun hati kecil mereka masih lagi berpaut di kampung halaman masing-masing. Menjelang Syawal, lambaian sanak saudara akan memaksa perantau untuk pulang ke kampung. Begitu juga semasa pilihan raya, masih ramai pengundi yang berdaftar di kawasan mereka dibesarkan dan bukannya di tempat mereka bermastautin. Bila tiba hari mengundi, maka berduyunlah perantau merentas sempadan untuk balik mengundi. Prinsip sejagat menyatakan bahawa pengundi harus mengundi di tempat mereka bermastautin. Malangnya di negara ini, penguatkuasaan undang-undang berkaitan perubahan alamat tidak pernah dilaksanakan menyebabkan pengundi boleh mendaftar di mana-mana kawasan bahagian pilihan raya berdasarkan kepada alamat yang tercatat di atas kad pengenalan masing-masing.

Pandemik COVID-19 merubah segalanya. Sudah dua tahun sambutan hari raya menjadi hambar. Bazar Aidilfitri ditutup. Balik kampung untuk berhari raya hanya tinggal kenangan. Ziarah menziarah tidak lagi dibenarkan. Solat sunat raya hanya di rumah dengan anak isteri, ucapan hari raya hanya dikirim melalui media elektronik. Rakyat gelisah dengan peraturan-peraturan baharu yang diperkenalkan.

Namun demi menjaga kesejahteraan semua, peraturan-peraturan tersebut harus dipatuhi. Begitu juga dengan pilihan raya, dengan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021, Parlimen Malaysia digantung dan semua pilihan raya kecil ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Dari suatu sudut, kelihatan seolah-olah demokrasi di negara ini terhakis dengan penggantungan Parlimen. Tetapi dari sudut yang lain, apa erti demokrasi sekiranya COVID-19 terus bermaharajalela dan menyebabkan kematian saban hari? Bagi rakyat, darurat diisytiharkan untuk melawan ancaman COVID-19. Janganlah darurat digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Pilihan raya bukannya pesta untuk makan, minum dan berbelanja bagi memancing undi tapi sebagai merayakan demokrasi dengan pemilihan wakil yang berkerja untuk rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara. Sebab itulah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan pada Ogos 2018 telah mengemukakan 49 cadangan untuk menambah baik  sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini supaya maksud sebenar pilihan raya dan demokrasi dapat dinikmati setiap warga negara Malaysia.

Selamat Menyambut Aidilfitri.

Penulis ialah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  63  =  69