Perpecahan musuh besar orang Melayu

 Perpecahan musuh besar orang Melayu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Feb: Perpecahan kalangan pemimpin Melayu adalah haram dan diklasifikasikan sebagai musuh utama umat Islam kerana kesannya amat buruk kepada bangsa, agama serta negara.

Justeru, aktivis Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ustaz Ismail Mina Ahmad menegaskan, semua pemimpin Melayu termasuk dalam  kepemimpinan BERSATU, UMNO dan PAS perlu ada kesedaran untuk mengelakkan perpecahan sesama sendiri dan menyelamatkan bangsa Melayu daripada kehilangan kuasa politik.

“Kena ada kesedaran dalam pemimpin kita bahawa haram kita ini berpecah! Kena ada satu kesedaran yang tinggi bahawa perpecahan itu adalah musuh besar dan dalam hal ini, musuh kita adalah diri kita sendiri.

“Saya berfikiran semua orang UMNO, PAS dan BERSATU nak perpaduan, nak berpadu. Oleh demikian, chemistry mesti betul dan mesti melihat (perpaduan ini) bukan agenda parti tetapi agenda menyelamatkan ummah. Bukan menyelamatkan parti kerana parti hanya sebagai alat,” katanya ketika ditemui Wacana.my.

Ismail Mina turut mengingatkan, tindakan menyelamatkan ummah adalah bermakna menyelamatkan Islam dan negara sekali gus dapat mempertahankan maruah serta martabat bangsa dan agama.

“Jadi, pemimpin Melayu mesti membina pemikiran bahawa agenda kita adalah agenda untuk ummah, Islam dan negara,” katanya.

Memperincikan soal chemistry, Ismail Mina berkata ia merujuk kepada persamaan yang sememangnya sudah wujud dalam setiap diri bangsa Melayu iaitu sama-sama mengamalkan syariat Islam dan menjunjung al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Al-Quran adalah perlembagaan hidup kita. Ini persamaan kita. Inilah chemistry dalam badan kita. Yang perlu kita lakukan ialah memperkasakan persamaan ini. Hakikatnya dalam persamaanya ialah orang Melayu memang hendak bersatu.

“Cuma yang tinggal ialah cari macam mana hendak synchronise supaya wujud keseimbangan. Dan, antara asas untuk mencapai keseimbangan itu ialah kena ada kesedaran dalam pemikiran kita bahawa haram kita ini berpecah, seperti yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Mengulas impak daripada penyatuan kepemimpinan parti yang didominasi kaum Cina, Ismail Mina menegaskan: “Tidak dapat digambarkan hasil pencapaian (daripada perpaduan) itu sebab ia terlalu jauh dan tingginya apa (impak) yang mereka nikmati dari segi ekonomi malah juga dalam pendidikan.”

“Inilah sebenarnya hasil pencapaian mereka. Oleh kerana perpaduan mereka cukup intim walaupun berbeza politik, organisasi dan institusi tetapi matlamat mereka satu iaitu mesti menjadi bangsa yang menguasai ekonomi dan pendidikan.

“Berpuluh tahun dahulu, mereka datang sebagai buruh. Tetapi oleh kerana mereka melihat perkara ini (status buruh) maka mereka bersatu. Menguasai ekonomi dan pendidikan sama maksudnya dengan menguasai politik walaupun sekarang tidak berkuasa 100 peratus,” katanya.

Oleh itu, dalam skop ini beliau menasihatkan pemimpin dan orang Melayu menjadikan pencapaian kaum Cina sebagai bukti di depan mata dan amat jelas untuk diteladani.

Sebaliknya, kata beliau, perpecahan Melayu mengakibatkan kita hilang kuasa politik. Walaupun tidak dinafikan bahawa kita masih kekal menguasai politik, tetapi hakikatnya kita tidak mampu membuat keputusan tanpa sokongan dan ‘restu orang lain’.

Katanya, keceluparan kata-kata netizen atau pemimpin tertentu yang menghina Melayu, Bahasa Melayu dan Islam dalam pelbagai platform media menunjukkan kita tidak ada kekuatan atau kuasa sekali gus tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  23  =  30