Permintaan songkok raya merudum

 Permintaan songkok raya merudum

Nasrum menjual songkok di premisnya di Bazar Muhibbah, Pekan.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 12 Mei – Esok hari raya. Tetapi jualan songkok benar-benar merdum tidak seperti dulu. Sejak pandemik COVID-19, seorang usahawan songkok tradisional di sini melalui hari-hari yang suram apabila produk yang diusahakan sejak 27 tahun lalu kini kurang mendapat permintaan.

Menurut Mohd Nasrum Hassan, 50, pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, beliau tidak berpeluang berniaga dan menghasilkan songkok yang ditempah pelanggan kerana premisnya di Bazar Muhibbah di sini tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, selepas perniagaan dibenarkan hingga sekarang sambutan terhadap songkok amat berkurangan walaupun menjelang hari raya.

Sebelum ini, beliau pada setiap kali Ramadan mampu menjual antara 900 hingga 1,000 songkok pelbagai jenis serta saiz. Yang paling banyak mendapat permintaan ialah songkok kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun.

Nasrum menunjukkan songkok yang dihasilkan untuk jualan sempena Aidilfitri, esok.

“Harga songkok yang tempah dijual dengan berharga antara RM160 hingga RM180 sementara yang jenis biasa berharga antara RM50 hingga RM65 termasuk songkok tinggi yang terkenal di kalangan masyarakat di Johor.

“Setiap kali Ramadan, permintaan songkok kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun berharga RM25 hingga RM40 paling tinggi permintaannya. Ibu bapa teruja untuk melihat anak mereka berpakaian Melayu dan bersongkok,” katanya yang menetap di Kampung Ketapang Hilir, di sini.

Nasrum bagaimana pun reda apabila rezekinya tahun ini agak kurang disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara namun yakin semuanya ada hikmah di sebaliknya.

Beliau yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya berkata, walaupun permintaan songkok berkurangan namun tetap bersyukur masih meraih pendapatan walaupun tidak seberapa.

“Tindakan kerajaan menguatkuasakan PKP menimbulkan masalah kepada peniaga hingga menyebabkan kerugian namun tindakan itu dilakukan demi keselamatan rakyat supaya wabak COVID-19 dibanteras,” katanya yang sebelum ini pernah menghasilkan songkok Sultan Pahang dan VIP lain.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  5