Permintaan daging arnab terus bertambah

 Permintaan daging arnab terus bertambah

Muhamad Rizal Adha kini menternak lebih 800 arnab pedaging jenis New Zealand White

Oleh Mohd Fikri Mie

RAUB, 16 Mei- Permintaan daging arnab segar di pasaran kini bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

“Bagaimanapun disebabkan pengeluaran daging arnab yang terhad, saya tidak dapat memenuhi permintaan,” kata seorang penternak arnab, Muhamad Rizal Adha, 26.

Beliau yang lebih lima tahun terbabit dalam ternakan arnab pedaging bagaimanapun tidak pasti punca permintaan terhadap daging arnab bertambah hingga ada ketika tidak dapat memenuhi permintaan yang begitu tinggi.

Selain untuk hidangan pelbagai resipi bagi mereka yang meminatinya, daging arnab juga dijadikan makanan untuk kucing peliharaan baka import oleh individu yang memiliki haiwan manja itu.

“Bermula dengan hanya memiliki beberapa arnab hiasan kini saya menternak lebih 800 arnab pedaging jenis New Zealand White. Menternak arnab pedaging mudah dan tidak memerlukan modal serta perbelanjaan makanan terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik dan kambing.

“Keuntungan hasil jualan daging segar amat memuaskan. Ketika ini permintaan daging arnab segar sangat menggalakkan hingga tidak mencukupi.

“Setiap bulan saya hanya mampu membekalkan antara 300 dan 350 kilogram sahaja.

“Walaupun dijual dengan harga RM35 hingga RM40 sekilogram namun pasaran daging arnab sentiasa mendapat permintaan tinggi,” katanya yang menetap di Kampung Tok Machang Ulu Gali, di sini.

Bekas atlet silat olahraga Sukan Malaysia (Sukma) itu berkata, kos makanan bagi arnab pedaging antara RM13 dan RM19 sepanjang tempoh dalam kurungan hingga mencapai usia matang untuk disembelih.

Muhamad Rizal berkata, arnab pedaging yang mencapai berat 2 kilogram ke atas sahaja akan disembelih dan semua proses dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja.

Beliau yang memiliki Diploma Ukur Bahan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak mampu meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan hasil jualan daging arnab secara dalam talian.

“Saya yakin industri ternakan arnab pedaging mempunyai masa depan yang begitu cerah pada masa akan datang. Golongan muda yang masih tercari perlu pekerja boleh mencuba projek berkenaan.

“Selain arnab pedaging saya juga memiliki arnab hiasan baka import dan tempatan,” katanya yang turut membekalkan sangkar arnab diimport dari China.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

28  −  26  =