Perlunya tarikh pembubaran Parlimen diumum awal

 Perlunya tarikh pembubaran Parlimen diumum awal
oleh Amerul Muner Mohammad

PROSES pilihan raya di Malaysia bermula dengan pembubaran Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, di atas nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri. Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan juga memberi budi bicara kepada YPDA untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Namun, sejarah menunjukkan sejak dari Pilihan Raya Umum Pertama (PRU1) pada tahun 1959 sehingga PRU14 pada 2018, YPDA telah menerima nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen apabila tiba masanya. PRU mesti diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Jangka hayat maksimum sesuatu sesi Parlimen adalah lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan utama yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pilihan raya akan menjalankan tugas mereka bagi memastikan pilihan raya dapat dijalankan dengan sempurna bagi membentuk kerajaan yang akan mentadbir negara. Pengurusan pilihan raya bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan perancangan yang kemas dan rapi bagi memastikan kredibiliti pilihan raya tidak tercemar dan kerajaan yang terbentuk hasil dari keputusan pilihan raya diterima semua pihak sama ada di peringkat dalaman ataupun antarabangsa. Ini adalah penting kerana keabsahan sesuatu kerajaan adalah bergantung kepada kredibiliti pilihan raya di negara tersebut. Pengiktirafan sesuatu kerajaan adalah penting terutama bagi memastikan kestabilan politik yang membawa kepada kemakmuran ekonomi negara.

Walaupun persediaan dijalankan sepanjang masa, SPR akan menjalankan aktiviti penyediaan di peringkat akhir apabila pembubaran diumumkan. Ia bermula dengan writ pilihan raya, penetapan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian, penyelarasan berkaitan kempen pilihan raya, pelantikan pegawai pengurus dan kakitangan tambahan untuk pilihan raya. Seterusnya, penyediaan dewan-dewan bagi penamaan calon dan pusat-pusat pengundian, isu-isu keselamatan, pengangkutan dan lain-lain isu logistik yang harus disiapkan oleh SPR.

Telah menjadi lumrah, SPR akan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang lain, namun segalanya harus disediakan dalam tempoh yang begitu terhad. Oleh kerana kesuntukan masa, kos bagi perolehan peralatan, logistik, elaun petugas dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan pilihan raya akan menjadi lebih tinggi.

Pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia sekarang akan meningkatkan lagi kos untuk mengadakan pilihan raya. Tambahan pula dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, bilangan pengundi di Malaysia akan meningkat lebih kurang 7 juta ketika PRU15. SPR menganggarkan kos bagi menjalankan PRU15 berjumlah RM1.5 bilion berbanding RM500 juta ketika PRU14.

Pembekal barangan dan perkhidmatan sering menaikkan harga apabila perolehan dibuat dalam keadaan yang terdesak. Kos sewaan dewan untuk dijadikan pusat penamaan calon dan pusat mengundi, kos sewaan pengangkutan seperti helikopter dan bot bagi kawasan pedalaman, adalah antara contoh yang melibatkan perbelanjaan besar bagi pengurusan pilihan raya. Kos ini dapat dikurangkan sekiranya tarikh pembubaran dan mengundi dapat ditentukan lebih awal.

SPR sentiasa mengadakan latihan kepada pegawai dan kerani pilihan raya, terutama pegawai dan kerani sukarela. Namun, sering berlaku pegawai dan pekerja sukarela ini tidak dapat bertugas pada hari sebenar kerana komitmen peribadi atau lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan. Ini dapat dielak sekiranya mereka mengetahui tarikh pilihan raya yang sebenar sebelum menawarkan perkhidmatan mereka kepada SPR. Pertukaran pegawai pada saat akhir boleh mengganggu kelancaran proses pengundian kerana ada kemungkinan pegawai pengganti tidak dilatih secukupnya.

Sistem jangka hayat Parlimen yang terbuka seperti yang diamalkan di Malaysia memberi kelebihan yang besar kepada parti memerintah. Perdana Menteri yang juga ketua parti memerintah akan hanya menasihatkan YDPA untuk membubarkan Parlimen apabila parti memerintah berada di posisi yang terbaik berbanding dengan parti lawan. Ini adalah antara ciri ketidakseimbangan yang mewujudkan lapangan pertembungan politik yang tidak sekata. Asas pilihan raya demokrasi yang baik menuntut semua parti politik dan pihak yang terlibat bertanding di atas lapangan yang sama rata. Parti memerintah di negara ini sentiasa mempunyai kelebihan yang ketara.

Sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, Kanada dan Sweden menetapkan tarikh pilihan raya yang diketahui umum. Walaupun tarikh pilihan raya ditetapkan secara spesifik di dalam perlembagaan masing-masing, sekiranya berlaku perkara-perkara yang mendesak, parti memerintah diberi ruang untuk mengadakan pilihan raya lebih awal dengan persetujuan dari badan legislatif. Manakala New Zealand memaklumkan tarikh pembubaran kepada umum enam bulan sebelum pembubaran dilakukan. Ini menunjukkan bahawa kepentingan negara diberi keutamaan dalam semua keadaan.

Setiap peraturan pilihan raya mempunyai kebaikan dan kelemahan masing-masing. Pilihan raya adalah hak rakyat bagi menentukan corak pentadbiran negara dan harus dijalankan secara bebas, adil dan telus. Sebab itulah Jawatakuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) mencadangkan supaya tarikh pembubaran Parlimen dimaklum sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pembubaran dilakukan oleh YDPA. Cadangan ini bertujuan untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia lebih demokratik, adil dan telus.

Penulis ialah mantan CEO ERC.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  2